Disangka sampah, rupanya telefon bimbit yang terbakar

Disangka sampah, rupanya telefon bimbit yang terbakar



mdroji@bh.com.my

Kuching: Orang awam tidak menyangka api yang marak pada longgokan bungkusan di tepi pejabat syarikat kargo di Terminal Bas Sibu, awal pagi hari ini adalah barangan berharga termasuk telefon bimbit beserta aksesori.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.17 pagi yang memaklumkan berlaku kebakaran sampah di terminal bas berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Selepas api berjaya dipadam, didapati bukan kebakaran sampah tetapi membabitkan barangan kargo yang diletakkan di tepi pejabat kargo bas.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kargo itu yang terdiri daripada telefon bimbit, thermos, aksesori telefon dan cecair pencuci,” katanya.

Menurutnya, kebakaran itu tidak membabitkan struktur bangunan, namun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar barangan kargo yang musnah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top