Pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah menyorot perhatian ramai selepas memuat naik sepotong video pendek di platform TikTok miliknya yang memaparkan luahan mengenai situasi kehidupanya kini.
Menerusi video berdurasi lebih satu minit itu, Nonny atau nama penuhnya Nonny Nadirah Zainuddin mengakui, dia kini kehilangan segala-galanya termasuk perniagaan dalam talian yang diusahakan sebelum ini.
Malah, keadaan tersebut menyebabkan kehidupannya berubah secara drastik sehingga sukar untuk dijelaskan kepada khalayak.
“Assalamualaikum saya Nonny Nadirah saya dari Malaysia. Saya kehilangan segala-galanya, sukar untuk saya menjelaskannya.
“Pada tahun 2023, saya mulakan perniagaan dengan duit sebanyak RM200 untuk mulakan segala-galanya. Bukan sebagai penyanyi atau pelakon tapi hanya bekerja dari rumah sahaja,” katanya.
Dalam hantaran sama, Nonny mendakwa, kehidupannya mula berubah susulan sokongannya terhadap Palestin sehingga menyebabkan perniagaan, kerjaya serta kehidupannya terjejas.
“Saya masih bekerja tapi disebabkan saya menyokong Palestin dan hidup bersama jin mereka sekat semuanya. kehidupan, perniagaan dan kerier saya. Semuanya musnah.
“Disini saya mahu mengutip dana kerana ini sahaja caranya untuk saya memperolehi sesuatu bagi menampung kehidupan seharian saya,” jelasnya.






