Skuad sofbol lelaki dan wanita UiTM barakan penguasaan kontinjen universiti berkenaan di pentas MASUM 2025.
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul juara berganda dalam acara sofbol kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025.
Kemenangan ini amat bermakna bagi pasukan lelaki UiTM, yang menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali meraih kejuaraan.
Pengurus pasukan, Mohd Saiful Rahmat, menekankan bahawa kejayaan itu hasil daripada disiplin tinggi dan kerja keras berterusan dalam kalangan pemain.
“Pasukan lelaki UiTM tidak bermula dengan nama besar; hampir semua atlet dibina dari bawah.
“Kami menekankan disiplin yang kukuh untuk membentuk pasukan mantap, dan hasilnya terbukti hari ini dengan dua pingat emas berjaya digenggam,” katanya.
Kontinjen UiTM sebelum itu terus gah di puncak sukan universiti negara apabila mengekalkan takhta Raja MASUM 2025 buat kali kelapan berturut-turut sekali gus meneguhkan statusnya sebagai kuasa besar yang sukar digugat.
UiTM mengungguli temasya yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyaksikan universiti itu menutup kempen dengan kutipan pingat membanggakan 30 emas, 19 perak dan 17 gangsa.
Disiplin tinggi menyaksikan penguasaan dalam 10 acara utama iaitu taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang mengekalkan tradisi juara sejak lapan edisi berturut-turut.
Mohd Saiful menambah, kejayaan kali ini bukan sahaja menjadi pencapaian semasa, malah menjadikan pasukan berpotensi mengekalkan kejuaraan untuk dua tahun akan datang.
“Skuad UiTM juga bertekad untuk terus mencari bakat baharu bagi memperkukuh jentera sofbol universiti.
“Kejayaan berganda ini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai kuasa besar sofbol universiti tempatan, dan membuktikan disiplin dan pembinaan pasukan mantap kunci kejayaan jangka panjang,” katanya.
Ringkasan AI
- UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) merangkul juara berganda dalam acara sofbol kategori lelaki dan wanita pada Kejohanan Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025
- Pasukan lelaki UiTM menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali meraih kejuaraan
- Kemenangan disumbangkan oleh disiplin tinggi dan kerja keras berterusan dalam kalangan pemain
- UiTM mengekalkan takhta Raja MASUM 2025 buat kali kelapan berturut-turut
- UiTM menutup kempen dengan kutipan pingat 30 emas, 19 perak dan 17 gangsa






