Diskaun barang dapur hingga 30%, Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia ke Melaka bermula hari ini

Diskaun barang dapur hingga 30%, Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia ke Melaka bermula hari ini


Kalau anda berada di Melaka hujung minggu ini, mungkin ini antara lokasi yang berbaloi untuk disinggah.

Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Melaka akan berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun 2026 di Morten Walk, Melaka dengan sasaran lebih 50,000 pengunjung.

Mengangkat tema “Jom Singgah SDSI”, karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini menghimpunkan pelbagai aktiviti keusahawanan, jualan rakyat dan program komuniti dalam satu lokasi.

Antara yang dijangka menjadi tumpuan ialah Jualan MADANI KUSKOP (JMK) yang menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk 60 jenis barangan keperluan harian termasuk beras, tepung, ayam, daging, telur dan minyak masak.

Lebih menarik, pada 21 Jun nanti akan diadakan sesi happy hour yang menawarkan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran bagi beberapa barangan terpilih.

Bagi usahawan pula, karnival ini membuka peluang untuk mendapatkan maklumat pembiayaan, geran dan latihan menerusi Kaunter Konsultasi Keusahawanan yang melibatkan sembilan agensi di bawah KUSKOP.

Turut berlangsung ialah sesi padanan perniagaan (business matching) yang menemukan usahawan dengan pembeli, pelabur dan syarikat peneraju industri. Program itu menyasarkan potensi urus niaga sehingga RM1 juta.

Dalam masa sama, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) turut mengetengahkan pelbagai produk tempatan dari seluruh negara, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mengenali keunikan dan potensi produk keluaran usahawan Malaysia.

Selain program keusahawanan, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti Sembang Usahawan Selebriti, Morten Berselawat, E-Sukan, Wayang Pacak, demonstrasi batik, Zumba Lambak, Dapur Aneka Rasa, Jom Naik Beca Berhias, Konsert XPDC, Treasure Hunt, pameran automotif dan EV serta cabutan bertuah.

Jadi kalau anda mencari barang keperluan pada harga lebih rendah atau ingin mendapatkan maklumat berkaitan perniagaan dan bantuan keusahawanan, KHPM Edisi Melaka mungkin antara destinasi yang boleh dimasukkan dalam senarai hujung minggu ini.





Source link

OR

Scroll to Top