am@hmetro.com.my
Seremban: Dua bekas pegawai badan berkanun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan selepas disyaki bersubahat menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu.
Kedua-dua suspek yang ditahan jam 11 dan 3 petang semalam itu dikatakan menggunakan dokumen berkenaan bagi tuntutan pembayaran dividen berjumlah kira-kira RM180,000.
Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing ditahan secara berasingan di Perak dan Terengganu sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2023 yang membabitkan tuntutan bayaran dividen berjumlah kira-kira RM180,000.
“Kedua-dua suspek juga dipercayai menerima pembayaran dividen itu melalui akaun bank milik pasangan masing-masing yang juga penama tidak layak,” katanya hari ini.
Katanya, permohonan perintah reman terhadap kedua-dua suspek dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
“Perintah reman selama empat hari sehingga 25 Mei depan terhadap seorang suspek wanita berusia 30-an dan suspek lelaki berusia 40-an dikeluarkan Majistret Nurul Azuain Mohd Talhah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd