Syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. membuat langkah besar dalam industri perfileman apabila filem terbaharunya, Soloz: Game of Life, berjaya menembusi pasaran Thailand.
Rahila Ali, penerbit filem tersebut berkata, karya arahan Syafiq Yusof itu akan ditayangkan secara rasmi di lebih 80 pawagam di seluruh Thailand mulai 4 Disember 2025.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah menyangka filem ini mampu menembusi pasaran Thailand. Ini merupakan satu pengiktirafan besar buat Key Billions Sdn. Bhd. serta seluruh pasukan yang telah memberikan komitmen dan tenaga sepanjang proses penerbitan. Sudah tentu ini menandakan kejayaan penting untuk filem Malaysia yang jarang menembusi pasaran negara tersebut dan ia sesuatu yang amat membanggakan,” katanya.

Soloz: Game of Life mengisahkan tentang Muhammad Faris Zakaria atau Soloz, seorang ikon E-sukan tanah air yang terkenal dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat tempatan seperti Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon dan Nia Atasha.
Rahila menegaskan usaha membawa filem ini ke Thailand bukanlah sesuatu yang mudah kerana negara itu sangat selektif terhadap filem luar. Namun, kekuatan naratif, visual, dan emosi yang dibawa Soloz: Game of Life memberi keyakinan untuk meneroka pasaran di sana.

“Proses ini memang mencabar kerana pasaran Thailand sangat kompetitif dan mereka memilih filem luar dengan teliti. Tetapi kami yakin dengan kekuatan cerita, visual dan emosi filem ini dan dengan sokongan rakan pengedaran, akhirnya kami berjaya membuka laluan tersebut,” katanya.
Untuk pasaran Thailand, Key Billions bekerjasama dengan Mstudio, sebuah syarikat pengedaran yang kukuh di Thailand dan aktif dalam rangkaian pengedaran antarabangsa. Rahila berkata Mstudio memberikan maklum balas positif selepas menonton Soloz: Game of Life dan tertarik dengan gabungan lakonan sebenar serta elemen CGI yang memberikan sentuhan moden dan segar.
“Sejak awal lagi mereka melihat potensi filem ini untuk diperkenalkan kepada penonton serantau. Pengalaman mereka dalam mengedarkan filem Asia memberi keyakinan besar kepada kami. Mereka juga melihat pendekatan visual yang memaparkan pertembungan antara dunia realiti dan dunia permainan sebagai sesuatu yang berpotensi menarik minat penonton muda, terutamanya peminat Mobile Legends di Thailand,” katanya.
Rahila turut memaklumkan filem ini dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih dekat dan selesa kepada penonton tempatan.

Beliau berharap kejayaan filem ini menembusi pasaran Thailand akan membuka lebih banyak peluang untuk filem tempatan ke pasaran antarabangsa. “Saya berharap penonton di Thailand akan menikmati dan menghargai jalan cerita yang kami bawakan. Jika langkah ini membuka lebih banyak peluang untuk filem Malaysia diterima di luar negara, ia sudah menjadi satu kejayaan besar untuk kami semua,” katanya.
Pada 2 Disember lalu, Malam Gala dan Tayangan Perdana Soloz: Game of Life telah diadakan di Bangkok. Acara itu turut dihadiri pelakon utama Hun Haqeem serta Pengasas dan Penerbit Eksekutif Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, yang memainkan peranan penting dalam membawa filem ini ke pasaran Thailand.






