Diterkam harimau kumbang ketika buang air kecil

Diterkam harimau kumbang ketika buang air kecil



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori cedera parah diserang seekor harimau kumbang ketika berhenti untuk membuang air kecil berhampiran kawasan pinggir hutan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku di Jalan Bukit Tangga- Seremban, Jelebu, Negeri Sembilan pada jam 3.31 petang tadi.

Menurutnya, ia berdasarkan maklumat video tular berhubung seorang pemandu lori yang diserang seekor harimau kumbang semasa mangsa turun untuk membuang air kecil di lokasi kejadian.

“Video berdurasi 16 saat itu menunjukkan kelibat harimau kumbang sedang berlari ke arah hutan yang bertentangan.

“Susulan itu kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan segera melakukan siasatan lanjut di lokasi kejadian petang tadi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima dan dikongsikan pihak polis, mangsa adalah warga tempatan berusia 50-an dan berasal dari Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

“Hasil siasatan juga mendapati seekor harimau kumbang dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menerkam bahagian kepala mangsa.

“Haiwan liar itu kemudian berlari ke kawasan hutan bertentangan jalan berkenaan. Terdapat bukti tompokan darah mangsa di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dirawat di Hospital Seremban berada dalam keadaan sedar dan akan menjalani rawatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“TIndakan pemantauan dan rondaan susulan akan dilakukan di lokasi kejadian dan orang ramai dinasihati berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top