JAKARTA: Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ari Lasso akhirnya tampil memberikan penjelasan selepas video yang memperlihatkan dirinya membentak kekasihnya, Dearly Djoshua, tular di media sosial baru-baru ini.
Video berkenaan pada asalnya dimuat naik oleh Dearly menerusi akaun Instagram dan TikTok miliknya.
Dalam rakaman berdurasi pendek itu, pasangan berkenaan kelihatan santai menghabiskan masa pada waktu pagi bersama-sama.
Namun, apa yang menarik perhatian netizen bukanlah suasana mesra mereka, tetapi reaksi Ari Lasso terhadap kekasihnya.
Beberapa kali penyanyi lagu Hampa itu kedengaran meninggikan suara antaranya ketika Dearly memintanya menghabiskan minuman, Ari membalas dengan nada tinggi, ‘Sek ta (sebentar). Banyak cakap’.
Situasi itu berulang apabila Dearly mula menyanyi mengikut lagu yang dimainkan dan Ari kemudian berkata, ‘Kamu itu tak faham muzik’.
Tindakan penyanyi berusia 53 tahun itu mengundang pelbagai kritikan daripada pengguna media sosial.
Ramai yang menyifatkan sikap Ari mudah panas baran dan tidak sesuai untuk ditonjolkan di khalayak, malah ada yang menganggapnya sebagai lelaki ‘red flag’ dalam hubungan.
Bagi meredakan keadaan, Ari Lasso memuat naik sekeping gambar bersama Dearly di akaun Instagram miliknya pada Rabu (8 Okt) dengan kapsyen berbentuk permohonan maaf.
“Maaf ya, yank @dearlydjoshua. Kata orang aku galak banget kayak ‘Obi’ (anjing peliharannya) Padahal kan kamu tahu dia suaminya Budahal… Jadi gimana dong,” tulisnya.
Sementara itu, tarikh sebenar hubungan percintaan antara Ari dan Dearly bermula masih tidak diketahui.
Pasangan itu mula menarik perhatian umum apabila dilihat menghadiri majlis perkahwinan Luna Maya di Bali pada Mei lalu.
Sebulan selepas itu, mereka mula mengumumkan hubungan secara terbuka dengan memuat naik foto bersama di media sosial masing-masing.