Djokovic dakwa 'diracun' menjelang Terbuka Australia 2022

Djokovic dakwa 'diracun' menjelang Terbuka Australia 2022


Paris: Novak Djokovic mendakwa dirinya ‘diracun’ melalui makanan yang dimakannya semasa di tahan di Melbourne pada 2022 sebelum dihantar pulang menjelang kejohanan Terbuka Australia.

Ketika itu, bekas pemain nombor satu dunia itu dibatalkan visanya dan akhirnya diusir dari negara berkenaan kerana enggan mengambil vaksin Covid-19.

Dia ditahan di sebuah hotel tahanan sementara berjuang melalui pertempuran undang-undang yang sia-sia untuk kekal di Australia.

“Saya mengalami beberapa masalah kesihatan. Saya dapati di hotel dekat Melbourne itu, saya diberi makanan yang meracuni saya,” kata Djokovic, 37 tahun, kepada majalah GQ dalam satu wawancara.

“Saya dapati beberapa penemuan apabila saya kembali ke Serbia. Saya tidak pernah memberitahu perkara ini kepada sesiapa secara terbuka, tetapi saya dapati tahap logam berat dalam badan saya sangat tinggi. Saya mempunyai plumbum, tahap plumbum dan merkuri yang sangat tinggi,” katanya lagi.

Apabila ditanya sama ada dia percaya makanannya dicemari, Djokovic menjawab: “Itu satu-satunya kemungkinan.”

GQ melaporkan ada menghubungi Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia untuk mendapatkan maklum balas tetapi diberitahu bahawa mereka tidak dapat memberikan komen ‘atas sebab privasi’.

Djokovic akan berusaha memburu gelaran Terbuka Australia ke-11 dan rekod kejuaraan Grand Slam ke-25 apabila kejohanan utama pertama musim ini bermula Ahad ini.

Djokovic menegaskan bahawa dia tidak menyimpan dendam terhadap rakyat Australia walaupun berlaku kontroversi pada 2022.

Malah, 12 bulan kemudian, dia kembali ke Melbourne dan berjaya merangkul gelaran juara.

“Ramai rakyat Australia yang saya temui di Australia sejak beberapa tahun kebelakangan ini atau di tempat lain di dunia meminta maaf atas layanan yang saya terima kerana mereka malu dengan kerajaan mereka ketika itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top