DM Islam terkilan pertarungan tinju batal saat akhir

DM Islam terkilan pertarungan tinju batal saat akhir


PEMPENGARUH media sosial, DMA Islam meluahkan rasa kecewa apabila pertarungan tinju menentang Abang Koroy sempena Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad dibatalkan pada saat-saat akhir.

DMA Islam atau nama sebenarnya Danial Mirza mendakwa beliau telah melakukan persiapan rapi selama tiga bulan bagi menghadapi pertarungan Twins Championship Amateur & Pro HSN 2025 tersebut.

“Aku datang training dari Kelantan ke Kuala Lumpur, aku beri tumpuan berlatih tiga bulan untuk pertarungan ini, tiba-tiba batal?” luahnya.

Beliau turut mempersoalkan kesan pembatalan pertarungan berkenaan terhadap para penyokongnya.

“Tindakan ini juga menyusahkan semua orang. Terdapat penyokong-penyokong aku dari Sabah hendak datang, sudah beli tiket.

“Lapan orang dari Sabah, satu tiket RM500, RM4,000 hangus macam itu sahaja.

“Ada yang datang dari Singapura, ada yang sudah dalam bas, ada yang sudah dalam hotel dan ada juga yang sudah minta cuti kerja,” keluh beliau.

Tinjauan ke laman sosial Twins Championship menunjukkan bahawa pertarungan DMA Islam menentang Abang Koroy memang dijadualkan berlangsung pada Ahad.

Selain aksi DMA Islam–Abang Koroy turut dijadualkan adalah pertarungan antara Bossku menentang Aliff Lihan, King Shah–Fendey Kalai, Hafidz Roshdi–Imam Azmi, dan Darwin–Yusri.

Dalam pada itu, DMA Islam turut memohon maaf kepada para penyokongnya berikutan pembatalan berkenaan.

“Maaf ya kawan-kawan, benda ini di luar kawalan saya. Saya betul-betul hendak berlawan dengan Abang Koroy,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Abang Koroy juga mempunyai keinginan tinggi untuk bertarung.

“Saya pun sudah berjumpa dengan Abang Koroy, dia pun sememangnya hendak berlawan. Abang Koroy sanggup turunkan berat dari 95 kilogram ke 75 kilogram untuk perlawanan ini.

“Dia contoh belia yang sihat sanggup turunkan berat badan. Apakah KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tidak nampak perkara ini?” soalnya.



Source link

OR

Scroll to Top