DNA juara SMK Shah Alam tak luntur

DNA juara SMK Shah Alam tak luntur


PENYANDANG juara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam kembali dengan misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) apabila turun menentang SMK Hillcrest dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Padang Sentetik Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, Rabu ini.

Musim lalu, anak didik Osmera Omaro menutup kempen dengan penuh bergaya apabila menjulang trofi Sumbangsih selepas menewaskan SMK Darul Ehsan 2-0 di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), SMK USJ 23 Subang Jaya, sekali gus mengembalikan kejuaraan ke bumi Shah Alam.

Bagaimanapun, skuad kali ini berdepan cabaran berbeza selepas SMK Shah Alam tidak lagi menjadi Pusat Latihan Daerah (PLD) dan menyaksikan sebahagian besar tonggak utama berhijrah ke Sekolah Sukan Negeri Selangor serta PLD lain.

Situasi itu memaksa Osmera tampil dengan barisan baharu yang kurang berpengalaman apabila membuka kempen Kumpulan A merebut Piala Sumbangsih menentang SMK Hillcrest.

“Memang kali ini kebanyakan pemain baharu, tetapi kami sudah lakukan persiapan rapi. Apa yang penting DNA bola sepak SMK Shah Alam tetap diterapkan. Dengan corak permainan ini, saya yakin pemain mampu menggalas cabaran mempertahankan Piala Sumbangsih,” kata Osmera kepada Sukan Sinar.

Mengulas mengenai tekanan selaku juara bertahan, Osmera menjelaskan fokus utama bukan semata-mata kemenangan, sebaliknya membentuk corak permainan positif agar pemain dapat berkembang lebih baik.

“Kami tidak mahu tekankan sangat soal menang kerana itu hanya menambah beban kepada pemain muda. Apa yang lebih penting ialah mereka bermain dengan cara yang betul dan menarik. Dari situ, bakat mereka akan berkembang secara semula jadi,” jelasnya.

Sebagai rekod, SMK Shah Alam juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas menewaskan SMK Tinggi Kajang bimbingan Mohamad Hafizudin Sulaiman, 3-2. dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.

PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15 2025

(RABU) 1 OKTOBER

KUMPULAN A

SMK Shah Alam lwn SMK Hillcrest

(Padang MBSA Seksyen 19, Shah Alam, 3.30 petang)

SMK Seksyen 10 Kota Damansara lwn SMK Saujana Utama

(Padang SMK Sri Permata, 3.30 petang)

KUMPULAN B

SMK Bandar Seri Putra lwn SMK Bukit Sentosa 2

(Padang UKM ‘B’ Bangi, 3.30 petang)

SMK Bukit Gading lwn SMK Dato Hamzah

(Padang SMK Seri Kundang, 3.30 petang)

KUMPULAN C

SMK Banting lwn SAMT Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

(Stadium Jugra, 3.30 petang)

SMK Taman Medan lwn SMK Bandar Puncak Jalil

(Padang Astaka PJ, 3.30 petang)

KUMPULAN D

SMK TTDI Jaya lwn SMK Kota Kemuning

(Radia Bukit Jelutong, 3.30 petang)

SMK Putra Perdana lwn SMK Tun Hussein Onn

(Padang SMK Putra Perdana, 3.30 petang)

 

 

Ringkasan AI

  • SMK Shah Alam kembali dengan misi mempertahankan kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15
  • Musim lalu, menewaskan SMK Darul Ehsan 2-0 dan memenangi trofi Sumbangsih
  • Skuad SMK Shah Alam berdepan dengan cabaran apabila sebahagian besar tonggak utama berhijrah
  • Osmera Omaro menggalas tanggungjawab membentuk barisan baharu yang kurang berpengalaman
  • Fokus utama bukan pada kemenangan semata-mata tetapi membina corak permainan dan mengembangkan bakat pemain



Source link

OR

Scroll to Top