Kuala Lumpur: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) akan dimasukkan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS) berkuatkuasa 22 Disember 2025.
Syarikat teknologi global itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia susulan penubuhan strategik Unit Kelestarian Kumpulan pada 2021.
Ketua Pengurusan Risiko dan Kemampanan Kumpulan DNeX Mathias Varming berkata kemasukan dalam indeks itu merupakan pengesahan kukuh terhadap komitmen strategik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh kumpulan.
“Ia mengubah hala tuju kemampanan kami daripada pelan dalaman kepada penanda aras yang diiktiraf di peringkat global.
“Ia akan bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepatkan inisiatif kami dan meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, kemasukan itu dijangka meningkatkan keterlihatannya dalam kalangan pelabur global, menyediakan akses kepada himpunan modal yang berfokuskan ESG yang lebih meluas, dan mengembangkan asas pelaburnya menerusi kemasukan automatik dalam dana yang menjejaki indeks F4GBM dan F4GBMS.
DNeX berkata ia akan terus mengukuhkan agenda kemampanannya dengan menggunakan rangka kerja FTSE4Good sebagai penanda aras penambahbaikan berterusan dalam prestasi dan pengawasan korporat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






