Biduanita Negara, Siti Nurhaliza mencuri perhatian ramai apabila tampil membalas komen seorang wanita yang meminta orang ramai mendoakannya dikurniakan zuriat selepas menanti selama 10 tahun.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Siti atau nama penuhnya Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 47, menitipkan kata-kata penuh doa dan nasihat kepada wanita berkenaan agar terus bersabar serta tidak putus harapan dengan rezeki Allah SWT.
“Amin Ya Rabballamin. Kak Iti doakan. Jangan lupa solat taubat, tahajjud, dan solat hajat niat Allah SWT kurniakan zuriat yang terbaik, di waktu yang terbaik.
“Percaya kepada rezeki Allah SWT. Baca doa Nabi Zakaria, bersedekah 10 malam terakhir dengan niat untuk cahaya mata ya.
“Istighfar banyak-banyak juga,” tulisnya.

Perkongsian itu sekali gus menyentuh hati ramai pengguna media sosial yang memuji keprihatinan penyanyi lagu Anta Permana itu dalam memberi kata semangat kepada wanita tersebut.
Rata-rata netizen turut mendoakan agar wanita berkenaan dipermudahkan urusan untuk menimang cahaya mata selepas sekian lama menanti.
Artikel Berkaitan: Kongsi Pengalaman IVF, Tunku Azizah Dedah Siti Nurhaliza Hampir Hilang Nyawa!






