Doa senjata rahsia Mukmin

Doa senjata rahsia Mukmin


HARI ini, bumi Palestin masih bersimbah darah, anak-anak kecil syahid di pangkuan ibu, isteri pula kehilangan suaminya manakala anak-anak menangisi pemergian bapanya.

“Rumah-rumah musnah, masjid dijadikan sasaran dan hospital pula dikepung tangpa belas kasihan.

“Gaza yang disebut sebagai penjara terbuka terbesar di dunia, kini menjadi saksi kezaliman yang tidak pernah berhenti sejak lebih 70 tahun.”

Begitulah kalam pembukaan khatib sejurus berdiri di atas mimbar pada Jumaat lalu bagi menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Doa: Senjata rahsia Mukmin yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor.

Menelusuri sejarah, menurut khatib, sejak 1948 lagi rakyat Palestin diusir dari tanah air mereka melalui tragedi Nakbah, diikuti dengan siri penjajahan Zionis yang merampas tanah demi tanah, dari al-Quds, Hebron hingga ke Gaza.

“Mereka berhadapan dengan satu projek penjajahan yang mahu menghapuskan etnik, menghancurkan kemanusiaan dan merendahkan kesucian Islam.

“Betapa dahsyatnya penyeksaan yang mereka terima,” katanya.

Jelas khatib, di sebalik runtuhan bangunan dan kesunyian malam yang dihujani ratusan peluru, masih ada zikir keramat yang bergema dari bibir rakyat Palestin iaitu ‘Hasbunallahu wani’mal wakil’ (Cukuplah ALLAH sebaik-baik penolong).

Ujarnya, mereka tidak memiliki jet pejuang atau senjata moden, namun mereka memilik senjata yang tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana kuasa dunia iaitu doa.

“Doa merupakan pusat utama dalam ibadah, bahkan lebih daripada itu doa ialah kunci kepada segala kebaikan dan penghalang kepada segala keburukan.

“Ia menjadi tali penghubung antara hamba dan Tuhannya serta tempat segala harapan dikembalikan ketika tiada lagi jalan di hadapan,” katanya.

Yakin, jangan putus asa

Khatib kemudian membawakan cerita Nabi Zakaria AS, Baginda memohon kepada ALLAH SWT agar dikurniakan zuriat yang soleh, sedangkan isterinya mandul dan usia mereka juga telah lanjut.

DOA bukan alasan untuk berdiam diri, tetapi seruan untuk bertindak dan mesti diiringi usaha dan tanggungjawab. Foto Canva

DOA bukan alasan untuk berdiam diri, tetapi seruan untuk bertindak dan mesti diiringi usaha dan tanggungjawab. Foto Canva

Dalam keadaan mustahil pada pandangan manusia, Baginda tetap berdoa dengan penuh yakin sepertimana diceritakan dalam ayat ke-38 surah Ali Imran: “Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepada aku dari sisi-MU, keturunan yang baik. Sesungguhnya ENGKAU sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan.”

Ujar khatib, doa Baginda akhirnya dimakbulkan dan ALLAH SWT mengurniakan seorang anak yang soleh iaitu Nabi Yahya AS, sebagai tanda bahawa tidak ada yang mustahil bagi ALLAH SWT apabila seorang hamba benar-benar yakin dan berserah.

“Begitu juga Nabi Lut AS, tatkala kaumnya tenggelam dalam maksiat dan tidak lagi mendengar seruan dakwahnya.

“Dalam keperitan usaha dakwah yang diabai kaumnya, Baginda menadah tangan, memohon perlindungan ALLAH SWT seperti diceritakan dalam ayat ke-169 surah asy-Syu’ara’,” jelasnya.

Menyambung cerita tersebut, ALLAH SWT menyelamatkan Nabi Lut AS daripada azab yang menimpa kaumnya.

“Demikianlah doa, senjata tanpa suara yang membelah segala keangkuhan dunia.

“Oleh itu, janganlah sesekali kita meremehkan kekuatan doa dan jangan cepat berputus asa jika belum nampak hasilnya.

“Sesungguhnya kelewatan bukan bererti penolakan. Adakalanya ALLAH SWT menangguhkan untuk memberi apa yang lebih baik daripada apa yang kita minta,” hurainya panjang.

Doa buat Palestin

Khatib berpesan kepada jemaah, jangan berhenti berdoa untuk saudara kita di Palestin kerana doa adalah tanda kita masih percaya, berharap dan hidup dalam naungan ALLAH SWT.

Meneruskan khutbah, khatib berkata, kini dunia semakin tersedar daripada lena yang panjang.

“Dari Nusantara ke Eropah, Afrika ke Amerika, jutaan manusia merentasi agama dan bangsa mula bangkit.

“Mereka tidak lagi sanggup berdiam diri di hadapan kezaliman yang menjerut leher kemanusiaan. Mereka membawa panji solidariti dan menuntut keadilan buat rakyat Palestin yang dizalimi tanpa belas kaihan,” katanya.

Dalam masa sama katanya, berdirilah para sukarelawan dan aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia yang bergabung menempuh lautan Mediterranean berbekalkan perisai yang ditakuti Zionis Israel iaitu keberanian, tekad dan doa.

Khatib menyambung, dunia menyaksikan sendiri bahawa mereka hanya berlayar untuk memberi makan kepada yang lapar, merawat yang cedera dan mengembalikan maruah yang dirampas.

BERDOALAH dengan yakin dan jangan berputus asa dengan ALLAH SWT. Foto Canva

BERDOALAH dengan yakin dan jangan berputus asa dengan ALLAH SWT. Foto Canva

“Tindakan pengecut Zionis Israel memintas dan menahan misi kemanusiaan di perairan antarabangsa jelas merupakan satu jenayah terang-terangan.

“Maka marilah kita teruskan berdoa. Jangan biarkan kezaliman ini mematahkan semangat dan harapan kita. Teruskan bergantung kepada ALLAH SWT, Tuhan yang MAHA MENDENGAR rintihan hamba-hamba kerana doa yang tulus daripada hati orang yang beriman lebih tajam daripada senjata dan mampu mengubah haluan sejarah,” jelasnya panjang.

Mengakhiri khutbah, khatib berpesan agar mengambil pengajaran yang boleh dijadikan pedoman dalam kehidupan:

1 – Umat Islam hendaklah meyakini doa merupakan senjata paling kuat bagi orang beriman. Ia bukan sekadar lafas di bibir, tetapi tanda kebergantungan dan kekuatan jiwa.

2 – Memahami bahawa bahawa doa bukan alasan untuk berdiam diri, tetapi seruan untuk bertindak. Doa yang tulus mesti diiringi usaha dan tanggungjawab.

3 – Hendaklah bangkit daripada kelalaian dan tidak membiarkan penderitaan Palestin berlaku tanpa keprihatinan.

Ringkasan AI

  • Bumi Palestin masih bersimbah darah dan menghadapi kezaliman yang tidak pernah berhenti sejak lebih 70 tahun Rakyat Palestin tidak memiliki senjata moden tetapi mempunyai doa sebagai senjata yang paling kuat Doa adalah pusat utama dalam ibadah dan kunci kepada segala kebaikan Pentingnya berdoa untuk saudara di Palestin sebagai tanda percaya dan berharap dalam naungan ALLAH SWT Dunia semakin tersedar dan bangkit menentang kezaliman, menuntut keadilan buat rakyat Palestin



Source link

OR

Scroll to Top