Doa: Terapi psikospiritual Mukmin

Doa: Terapi psikospiritual Mukmin


DALAM dunia yang penuh cabaran ini, manusia sering kali berhadapan dengan tekanan hidup, sama ada dari aspek kewangan, kesihatan, pekerjaan mahupun hubungan sesama insan.

Dalam usaha mencari jalan keluar, ramai yang terlupa bahawa Islam telah menyediakan satu sumber kekuatan yang sangat ampuh dan percuma iaitu doa.

Bukan hanya sekadar permohonan, doa adalah terapi psikospiritual yang menghubungkan jiwa manusia dengan Penciptanya.

Ia adalah suatu laluan kerohanian untuk mengadu, mengharap dan menyerah diri serta menjadi sumber kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran hidup.

Tambahan pula, doa juga merupakan sumber kekuatan dalam pentadbiran dan pengurusan dalam apa jua aktiviti kehidupan. Tanpanya tidak lengkap perjalanan sesebuah kehidupan itu.

Gabungan kekuatan doa melalui dalaman (psikospiritual) dan luaran (urus tadbir) adalah aspek terpenting dalam kehidupan seorang Mukmin.

Kekuatan psikospiritual melalui doa

Psikospiritual merujuk kepada gabungan kekuatan mental dan spiritual yang mendorong seseorang untuk terus tabah, tenang dan yakin dalam menghadapi ujian kehidupan.

Ia adalah gabungan antara aspek psikologi dan spiritual seseorang. Secara mudah, ia melibatkan ketenangan jiwa, kestabilan emosi dan keyakinan rohani yang mantap.

Dalam konteks kehidupan moden yang semakin mencabar, kestabilan psikospiritual menjadi benteng penting bagi menangani tekanan, keresahan dan konflik dalaman.

Doa bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi penghayatan dalam jiwa. Ia membawa rasa rendah diri, penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH, serta memberi ruang kepada hati untuk berbicara secara ikhlas dan jujur dengan Tuhan.

Dari sudut psikologi, amalan berdoa membantu menstabilkan emosi. Ia memberi ketenangan, mengurangkan keresahan dan membina sikap positif dalam diri.

Ketika seseorang berdoa, ia menanam harapan, mengurangkan tekanan dan mengaktifkan minda untuk terus berfikir secara sihat dan rasional.

Tambahan pula doa dapat membina semula hubungan kita dengan Pencipta dan dalam masa yang sama, membina kembali kekuatan dalam diri kita sendiri.

Seperti Nabi Ibrahim AS yang tidak goyah walaupun diuji, begitu juga kita harus belajar menjadikan doa sebagai benteng jiwa.

Sebagaimana Baginda berdoa ketika sunyi di padang pasir dan ketika menghadapi keputusan berat, kita juga boleh dan harus berdoa dalam setiap keadaan susah mahupun senang.

DOA juga sebagai pemangkin strategi dalam mengurus urusan umat dan negara. Foto Canva

DOA juga sebagai pemangkin strategi dalam mengurus urusan umat dan negara. Foto Canva

Malahan dalam aspek psikospiritual, doa mampu menguatkan kesedaran diri sebagai hamba, menghapus sifat mazmumah dan menghidupkan sifat mahmudah, menenangkan hati dalam menghadapi ujian hidup dan meningkatkan kebergantungan kepada ALLAH SWT (tawakal dan reda).

Doa tingkatkan urusan pentadbiran

Dalam perspektif siasah syar’iyyah (pentadbiran Islam), doa memiliki kedudukan yang utama, bukan hanya sebagai ibadah persendirian, tetapi juga pemangkin strategi dalam mengurus urusan umat dan negara.

Dalam konteks siasah syar’iyyah, penguasa atau pemimpin bertanggungjawab untuk menegakkan hukum ALLAH SWT di bumi.

Doa ialah tanda ketundukan hati yang mengakui segala kekuasaan, kejayaan dan kemenangan hakikatnya datang daripada ALLAH SWT.

Ini menunjukkan bahawa dalam kepimpinan Islam, sifat kebergantungan kepada ALLAH SWT adalah elemen utama dalam menentukan sesuatu keputusan serta menghadapi cabaran.

Selain itu, doa sebagai senjata rohani dalam kepimpinan. Seorang pemimpin yang soleh tidak hanya mengharapkan kekuatan fizikal semata-mata tetapi juga mampu mengaplikasikan doa untuk memperoleh pertolongan, petunjuk dan keberkatan dari ALLAH SWT dalam menguruskan hal-hal berkaitan rakyat dan negara.

Rasulullah sering berdoa ketika menghadapi keadaan yang genting seperti sebelum perang, ketika menetapkan sesuatu keputusan penting bahkan ketika menghadapi krisis umat.

Seorang pemimpin yang didoakan oleh rakyatnya menunjukkan bahawa beliau memiliki kewibawaan moral dan spiritual.

Dalam lipatan sejarah Islam, para pemimpin yang adil sentiasa mendapat doa kebaikan daripada rakyat dan para ulama, manakala pemimpin yang zalim pula dijauhkan daripada doa-doa tersebut.

Ini menggambarkan doa turut menjadi ukuran kepada sokongan atau teguran umat terhadap dasar dan kepimpinan pemerintah.

Akhir sekali, doa juga merupakan cerminan tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya.

Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja berdoa untuk dirinya, tetapi turut mendoakan rakyat agar dikurniakan hidayah, kemakmuran dan keamanan.

DALAM mengurus dan mentadbir negara, para pemimpin perlu memperbanyakkan doa untuk negara dan rakyatnya. Foto Canva

DALAM mengurus dan mentadbir negara, para pemimpin perlu memperbanyakkan doa untuk negara dan rakyatnya. Foto Canva

Hal ini selari dengan prinsip maslahah dalam siasah syar’iyyah iaitu setiap dasar dan tindakan kepimpinan hendaklah bertujuan membawa kebaikan serta manfaat kepada umat sejagat.

Kesimpulannya, doa merupakan ibadah utama yang menghubungkan manusia dengan ALLAH SWT secara langsung.

Doa dari sudut psikospiritual berperanan sebagai terapi jiwa yang menenangkan emosi, mengurangkan tekanan serta meneguhkan harapan dalam diri manusia.

Ia membantu individu mencapai kestabilan mental dan ketenangan hati dengan menyerahkan segala urusan kepada ALLAH SWT, sekaligus memupuk rasa reda dan tawakal.

Dalam kerangka siasah syar’iyyah, doa bukan sekadar ibadah peribadi, bahkan cerminan ketundukan pemimpin dan rakyat kepada kekuasaan ALLAH SWT, terutama dalam mengurus hal ehwal pemerintahan.

***FARAH MOHD FERDAUS merupakan Pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Islam, Umum dan Bahasa, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM)

***DR MADIHATUN ZAINUDDIN merupakan Pensyarah Kanan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Islam, Umum dan Bahasa, UPTM



Source link

OR

Scroll to Top