am@hmetro.com.my
Muar: Teruja dengan pulangan lumayan yang dijanji menyebabkan seorang doktor lelaki kerugian lebih RM100,000 akibat terpedaya dengan sindiket menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Mangsa berusia 27 tahun didakwa terjebak dengan sindiket itu selepas berkenalan dengan individu melalui satu aplikasi sebelum ditawarkan pekerjaan sambilan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa kemudian berhubung dengan individu terbabit bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pekerjaan ditawarkan.
Menurut Raiz Mukhliz, individu terbabit memberitahu mangsa pekerjaan ditawarkan adalah membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga.
“Mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 20 peratus jika menyelesaikan tinjauan menerusi pautan yang disediakan kepadanya.
“Tertarik dengan pulangan komisyen serta percaya dengan tawaran kerja sambilan itu, mangsa kemudian mendaftar sebagai ejen menerusi laman sesawang,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Raiz Mukhliz lagi, bagi mendapatkan tinjauan ditawarkan, mangsa melakukan 14 transaksi ke dalam lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.
Katanya, melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun mangsa menunjukkan perolehan keuntungan sebanyak RM130,000.
Namun, sebaliknya, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan terbabit namun enggan berbuat demikian kerana mula berasa ditipu.
“Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, malam semalam untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mangsa menggunakan wang simpanan untuk menyertai tawaran itu. Buat masa ini, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd