PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji peningkatan ketara Jeremy Doku dalam membuat keputusan selepas tonggak sayap Belgium itu menjadi watak utama kemenangan 5-1 ke atas Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad.
Dua jaringan lewat oleh Erling Haaland menambah kilauan keputusan, namun City sudah selesa selepas dua gol sendiri Maxime Esteve dan penyudah voli Matheus Nunes memastikan dominasi tuan rumah.
Doku memainkan peranan besar apabila rembatan awalnya terkena pemain lawan hingga menghasilkan gol sendiri pertama, selain mencipta bantuan jaringan untuk Haaland serta memberi tekanan berterusan kepada bekas rakan sepasukannya, Kyle Walker.
Sejak tiba di Manchester, aspek penyudah dan hantaran akhir Doku sering dipersoalkan, namun pemain berusia 23 tahun itu membuka musim ini dengan satu gol dan tiga bantuan jaringan dalam tujuh penampilan.
“Saya selalu minta pemain sayap untuk berdepan satu lawan satu, kadang-kadang dua lawan satu. Sekarang saya nampak keputusan Doku di kawasan serangan meningkat luar biasa.
“Dia mula nampak lorong, mula tahu bila perlu hantar bola dan bila perlu cuba. Dia menjadi ancaman besar apabila menentang pasukan yang bertahan rendah. Dulu dia agak sukar apabila menentang pasukan transisi, tapi sekarang dia bijak membawa bola ke kawasan berbahaya.
“Apabila dia membawa bola, dua tiga pemain lawan terpaksa mengasak, sekali gus membuka ruang buat rakan sepasukan. Itu kematangan yang semakin jelas,” ujar Guardiola.
Tiga mata di laman sendiri melonjakkan kedudukan City dalam carta liga selepas permulaan hambar musim ini dengan kekalahan kepada Tottenham dan Brighton.
Sementara itu, Guardiola mengakui prestasi anak buahnya semakin pulih sejak kemenangan besar ke atas Manchester United dua minggu lalu.
“Saya nampak bahasa tubuh yang berbeza. Walaupun menentang Arsenal ketika tidak bermain baik, cara mereka bertahan dan membantu sesama sendiri, itu kunci segalanya,” jelasnya.
Burnley pula sempat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jaidon Anthony pada minit ke-38 dan berpeluang mendahului sebelum City kembali menguasai babak kedua.
Gol Nunes dan satu lagi gol sendiri Esteve hasil gerakan Oscar Bobb memusnahkan kebangkitan pelawat.
Sementara itu, pengendali Burnley, Scott Parker menganggap keputusan 1-5 tidak menggambarkan usaha dan kekuatan sebenar The Clarets.
“Keputusan itu agak kejam. Untuk 60 hingga 70 minit pertama kami bermain cemerlang sama ada dengan atau tanpa bola.
“Kami beri masalah kepada City tapi dua gol pantas selepas itu membunuh momentum kami. Tapi kalau kami terus beraksi seperti hari ini, kami mampu menjadi pasukan kompetitif musim ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Pep Guardiola memuji peningkatan Jeremy Doku dalam membuat keputusan di lapangan
- Manchester City menang 5-1 atas Burnley dengan peranan besar dari Doku termasuk mencipta bantuan gol
- Doku dianggap berbahaya dalam menghadapi pertahanan lawan dan meningkat kemampuannya dalam membawa bola ke kawasan lawan
- Kemenangan ini meningkatkan kedudukan City di liga selepas awal musim yang tidak menentu
- Scott Parker, pengendali Burnley, menganggap kekalahan dengan skor 1-5 tidak mencerminkan usaha sebenar pasukannya





