Dokumen palsu: Adam Adli gesa proses rayuan dipercepatkan

Dokumen palsu: Adam Adli gesa proses rayuan dipercepatkan


KEMENTERIAN Belia dan Sukan menggesa agar proses rayuan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara dipercepatkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, dalam masa sama perlu menekankan soal integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan penyokong dan masyarakat dihormati.

“Kementerian Belia dan Sukan mengambil maklum keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang melibatkan FAM serta tujuh pemain Harimau Malaya.

“FAM telah mengesahkan bahawa rayuan akan dikemukakan dan proses ini perlu dipercepatkan.

“Reputasi bola sepak Malaysia mesti dipertahankan dan sebarang bentuk campur tangan politik atau sabotaj yang cuba menjejaskan sukan ini perlu ditolak sama sekali,” katanya di aplikasi X pada Sabtu.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melakukan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi badan induk dunia itu, FAM didapati telah mengemukakan pertanyaan kelayakan pemain kepada FIFA dengan menggunakan dokumen yang diubah suai bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu sebelum FIFA menerima aduan rasmi mengenai status kelayakan beberapa pemain terbabit.

Selepas meneliti bukti dan menjalankan prosiding penuh, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah memutuskan hukuman yang agak berat kepada FAM dan pemain warisan negara.

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Belia dan Sukan menggesa percepatan proses rayuan terhadap hukuman FIFA kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara
  • Adam Adli menekankan pentingnya integriti dan ketelusan dalam proses rayuan ini
  • FAM akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang melibatkan tujuh pemain Harimau Malaya
  • Tindakan tegas diambil selepas didapati FAM mengemukakan pertanyaan kelayakan pemain menggunakan dokumen yang diubah suai
  • Tujuh pemain tersebut beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam sebelum FIFA menerima aduan mengenai status kelayakan mereka



Source link

OR

Scroll to Top