SIASATAN bebas dan telus perlu dijalankan segera melibatkan bukan sahaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi juga pihak berkuasa berkaitan isu hukuman yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan.
Bekas Naib Presiden FAM yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika terbukti ada individu tertentu yang bersalah, mereka mesti dikenakan tindakan sewajarnya tanpa kompromi.
“PN melihat skandal ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi lebih daripada itu seolah-olah satu pengkhianatan terhadap integriti sukan negara. Soalnya, siapa yang membenarkan dokumen palsu ini diproses? Apakah ada unsur kecuaian, atau lebih buruk lagi, unsur penipuan yang disengajakan?
“Kepimpinan FAM hari ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya, tidak memadai dengan hanya merayu keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semata-mata.
“Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga tidak boleh berdiam diri. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu segera tampil memberi penjelasan apakah langkah yang akan diambil untuk memulihkan integriti bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, FIFA memaklumkan jawatankuasa tatatertib badan induk itu menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan kebangsaan kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pemain-pemain yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Menurut FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit sehingga membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Tambah Takiyuddin, ahli-ahli Parlimen PN memandang serius keputusan FIFA yang mengenakan denda terhadap FAM serta menggantung dan mendenda tujuh pemain selama setahun akibat penggunaan dokumen dipalsukan berdasarkan Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
“Rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tempatan amat kecewa dengan insiden memalukan ini dan mereka berhak marah kerana nama baik negara telah dipalit dengan aib di pentas antarabangsa.
“Insiden sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini, menampakkan FAM kelihatan hilang kawalan, lemah dalam pentadbiran dan gagal memastikan setiap proses didokumenkan secara telus serta sah,” katanya.
Tegasnya, jika benar-benar mahu melihat bola sepak Malaysia kembali dihormati, jalan pintas dengan menipu dokumen bukanlah jawapannya.
“Hanya disiplin, ketelusan dan integriti yang akan mengangkat kembali maruah bola sepak negara,” katanya.
Ringkasan AI
- SIASATAN bebas dan telus tentang isu hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan perlu dijalankan segera
- Datuk Seri Takiyuddin Hassan menekankan individu yang bersalah harus dikenakan tindakan sewajarnya
- FIFA menjatuhkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain kerana pemalsuan dokumen
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh diminta untuk segera memberi penjelasan langkah pemulihan integriti bola sepak negara
- Disiplin, ketelusan, dan integriti ditekankan sebagai nilai penting untuk mengembalikan maruah bola sepak Malaysia