Dollah, Zainal mampu naikkan imej bola sepak Malaysia – Jamal Nasir

Dollah, Zainal mampu naikkan imej bola sepak Malaysia – Jamal Nasir


Kehadiran Zainal (kiri) dan Dollah dalam barisan kepimpinan FAM satu perkembangan positif kepada sukan itu. Gambar kecil: Jamal Nasir

PEMILIHAN dua bekas pemain kebangsaan dalam kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai perkembangan positif kepada sukan itu.

Malah, legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan pengalaman Datuk Dollah Salleh yang dipilih Naib Presiden dan Datuk Zainal Abidin Hassan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) mampu memperkasa perancangan dan hala tuju selain pembaharuan terhadap FAM.

Menurut Jamal Nasir dengan kepimpinan baharu FAM di bawah teraju Presiden Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, kedua-dua bekas tonggak Harimau Malaya itu mampu menyumbang idea efektif bagi meningkatkan pembangunan bakat muda sekali gus memperbaiki prestasi skuad kebangsaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua terutamanya bekas pemain Malaysia yang terpilih sebagai Naib Presiden dan Exco. Ini perubahan yang amat baik apabila ada bekas pemain ditonjolkan dalam hierarki FAM.

“Saya harap mereka dapat memberikan buah fikiran membina untuk menaikkan imej bola sepak Malaysia yang kita tengok masih tidak menentu,” kata bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan era 70-an dan 80-an itu pada Ahad.

Sementara itu, Jamal Nasir mahu kepimpinan baharu badan induk sukan itu membawa perubahan drastik menerusi pendekatan menyeluruh dan sistematik bagi memantapkan Harimau Malaya termasuk skuad Bawah 23 (B-23) tahun Harimau Muda.

Malah, Jamal Nasir juga turut menyuarakan harapan untuk melihat peningkatan menyeluruh struktur bola sepak Malaysia merangkumi pembangunan bakat yang lebih sistematik, pengurusan liga lebih profesional serta kemajuan teknikal selaras standard antarabangsa.

“Kepimpinan baharu FAM ini sudah tahu kelemahan lepas, jadi bila ada perubahan (kepimpinan) kita nak juga lihat perubahan dalam segenap struktur,” katanya.

INFO

Pada kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 pada Sabtu menyaksikan Dollah antara tiga muka baharu yang mengisi empat jawatan Naib Presiden manakala Zainal mengisi kekosongan lapan jawatan bagi Exco lelaki, dengan kedua-duanya meraih antara undian tertinggi.

Dollah pernah menjadi pengendali Harimau Malaya dan membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki yang kini dikenali sebagai Piala ASEAN pada 2014.



Source link

OR

Scroll to Top