PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua pemain kebangsaan tidak akan dapat beraksi untuk pasukan ASEAN All-Stars dalam aksi persahabatan menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 28 Mei depan.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, dua pemain tersebut iaitu Dominic Tan dan Sergio Aguero tidak dapat menyertai perlawanan persahabatan itu kerana terikat dengan tugasan skuad kebangsaan dalam aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun.
Setakat ini, hanya penjaga gol Perak, Haziq Nadzli yang dilepaskan oleh FAM untuk menyarung jersi skuad ASEAN All-Stars menentang pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN ) ada minta tiga pemain negara, seorang lepas tetapi dua lagi tidak boleh beraksi kerana terikat dengan persiapan menentang Vietnam.
“Namun, kita telah mencadangkan lima nama lain kepada AFF untuk beraksi bersama ASEAN All- Stars itu.
“Pemain tersebut juga bertaraf kebangsaan antaranya Ahmad Khuzaimi Piee dan beberapa pemain lain,” katanya.
Sebelum ini, AFF telah mengumumkan senarai pemain yang telah dipanggil untuk bersama skuad bintang ASEAN itu yang akan dilatih oleh pengendali Vietnam, Kim Sang-sik.
Tiket perlawanan membabitkan United dan ASEAN All-Stars mendapat sambutan hangat apabila hampir 45,000 keping dilaporkan terjual setakat Jumaat lepas.
Kali terakhir juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berkunjung ke Malaysia semasa jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0 masing-masing pada 18 dan 20 Julai di SNBJ.
Sementara itu, Mohd Joehari mengesahkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilantik Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.
Selain Cheng Hoe, beliau memaklumkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard pula dilantik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya manakala bekas pengarah sukan Terengganu FC, Zul Fadli Rozi sebagai koordinator pasukan.
OR