September 8, 2024

Dongeng kerjasama politik orang Melayu

Dongeng kerjasama politik orang Melayu


UNTUK kesekian kalinya, cakap-cakap mengenai kerjasama politik antara Pas dan UMNO kembali kedengaran.

Sejak berakhirnya hayat Muafakat Nasional (MN) yang pada dasarnya tamat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), usaha untuk menghidupkan semula kerjasama antara Pas dan UMNO itu tidak pernah terhenti.

Sama ada UMNO atau Pas, kedua-duanya dapat melihat bagaimana kerjasama MN ketika itu begitu mendapat sokongan dan sambutan penuh positif daripada orang Melayu.

Namun, kerana kepentingan politik yang berbeza, tempoh hayat MN tidak panjang dan gagal dipertahankan.

Ia sudah pastinya menjadi episod hitam dan menyedihkan orang Melayu yang sejak sekian lama dipisahkan dan dipecahkan oleh fahaman serta ideologi politik berbeza.

Begitupun, harapan untuk melihat kepada penyatuan terbesar orang Melayu di bawah payung politik yang sama sentiasa ada.

Walaupun usaha itu ketika ini hanya cakap-cakap kosong di kedai kopi seperti yang disebut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, namun ia tidak mustahil boleh merintis kepada jalan yang lebih besar pada masa depan.

Pemimpin UMNO mungkin tidak berani untuk mengulas panjang mengenai kerjasama dengan Pas kerana memikirkan kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Tetapi dalam kalangan pemimpin muda UMNO khususnya Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh, sinar kepada penyatuan politik orang Melayu sangat cerah.

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak semuanya menolak secara total usaha penyatuan politik Melayu itu.

Meskipun masih ada dendam yang wujud terhadap UMNO, namun pemimpin Bersatu juga menyedari parti itu harus bersama-sama gerakan penyatuan politik orang Melayu sekiranya mahu memastikan survival dan kelangsungan parti itu pada masa depan.

Bagaimanapun, perlu diakui usaha penyatuan politik orang Melayu memerlukan dimensi baharu untuk bertahan dan tidak menerima nasib sama seperti MN.

Jika kerjasama antara Pas dan UMNO selamanya dilihat hanya dalam konteks politik, maka ia tidak akan pernah berjaya.

Ini kerana apabila kerjasama itu tidak lagi memberi keuntungan politik kepada pemainnya, ia dengan mudah dan segera akan ditinggalkan.

Itulah juga nasib yang dialami dalam kerjasama antara Pas dan UMNO ketika era kerajaan campuran perikatan dan MN.

Kedua-duanya gagal disebabkan tidak lagi memberi keuntungan politik sama ada kepada Pas ataupun UMNO.

Pemimpin kedua-dua parti boleh berbalah menyalahkan satu sama lain siapa yang menjadi punca kepada keruntuhan kerjasama itu.

Namun, pada hakikatnya, mereka tidak mempunyai keberanian untuk hilang kuasa politik jika kerjasama itu diteruskan.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna harapan untuk melihat penyatuan dua parti orang Melayu dan umat Islam terbesar itu terkubur selamanya.

Ibarat harapan tak putus, sampai jerat tersentak rantus, rata-rata orang Melayu masih menaruh harapan untuk menyaksikan satu hari nanti, parti-parti orang Melayu dan umat Islam berganding bahu pada pilihan raya umum.

Dalam mana-mana negara sekali pun, kaum majoriti tidak boleh dilihat lemah dan berpecah-belah.

Sebagai tonggak kepada sesebuah negara, kelemahan dan perpecahan kaum majoriti akan turut mengheret kejatuhan negara tersebut.

Ia bukan soal akan ditindas dan dikuasai kaum lain, tetapi lebih kepada soal menjamin kestabilan negara.

Lihat apa yang berlaku kepada negara selepas pilihan raya umum 2018 apabila UMNO yang selama ini menjadi parti terkuat orang Melayu dan tonggak kepada Kerajaan Persekutuan hilang kuasa.

Perlu diakui sejak itu, negara tidak pernah berada dalam keadaan benar-benar stabil dan buktinya Malaysia bertukar tiga Perdana Menteri hanya dalam tempoh lima tahun.

Ekonomi negara sejak itu juga terbantut dengan banyak pelabur asing memilih menjauh daripada Malaysia kerana bimbang dengan ketidakstabilan politik negara.

Sebagai bangsa ekonomi, kaum Cina pastinya turut terjejas dengan keadaan ini apabila tidak banyak peluang perniagaan dapat diteroka mereka.

Sebab itu kaum-kaum lain juga perlu menerima hakikat kestabilan dan kemajuan negara tidak akan berlaku tanpa adanya asas perpaduan serta kerjasama yang kukuh dalam kalangan politik orang Melayu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top