Donnarumma setuju sertai Manchester City

Donnarumma setuju sertai Manchester City


Donnarumma (kanan) semakin hampir tinggalkan PSG. FOTO: AFP

PENJAGA gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma dilaporkan telah bersetuju dengan syarat peribadi untuk menyertai Manchester City.

Bintang Itali berusia 26 tahun itu dianggap antara penjaga gol terbaik dunia, namun kini disisihkan daripada skuad utama PSG.

Media Perancis melaporkan Donnarumma diketepikan daripada sesi latihan selepas pihak pengurusan kelab memutuskan Lucas Chevalier yang dibeli dari Lille bakal menjadi penjaga gol utama baharu.

Walaupun memainkan peranan penting dalam kejayaan musim lalu, bekas bintang AC Milan itu dimaklumkan perlu mencari kelab baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Pada Jumaat, Donnarumma seakan mengesahkan kepindahannya apabila dilihat beremosi mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong PSG di Parc des Princes.

Menurut Fabrizio Romano, langkah Donnarumma ke Liga Perdana semakin hampir selepas beliau mencapai persetujuan untuk berhijrah ke Etihad.

PSG dan City kini sedang berunding mengenai bayaran perpindahan yang dijangka lebih rendah daripada permintaan awal £43.3 juta (RM245 juta) oleh kelab Perancis itu.

Namun, perpindahan Donnarumma juga bergantung kepada masa depan Ederson yang kini menarik minat Galatasaray.

Dalam perlawanan menentang Tottenham yang menyaksikan City tewas 2-0 pada Sabtu, penjaga gol Brazil itu hanya diletakkan di bangku simpanan.

Sebaliknya, pemain baharu James Trafford diturunkan sebagai penjaga gol utama, namun gagal menyerlah dan dipersalahkan atas gol kedua Spurs.



Source link

OR

Scroll to Top