Port Dickson: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjadi pusat rujukan dapatan statistik pelaksanaan bancian oleh 11 negara, termasuk pelbagai organisasi antarabangsa sejak 2017.
Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata negara itu ialah Uzbekistan, Qatar, Cambodia, Indonesia, Arab Saudi, Mesir, Vietnam, China, Bangladesh, Azerbaijan dan Nepal.
“Malaysia adalah satu daripada negara Asia paling ke hadapan menguruskan pelaksanaan pelaksanaan statistik, bancian pertanian dan penduduk, selain Thailand dan Indonesia.
“Selain itu, terdapat juga lawatan sambil belajar daripada agensi negara luar ke DOSM bagi melihat secara lebih dekat pelaksanaan banci termasuk bancian pertanian yang sedang dilaksanakan di beberapa negara lain,”katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Operasi Banci Pertanian di Jeti Pengkalan Bukit Palong di sini, kelmarin.
Beliau berkata, lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 26 Februari lalu, Agensi Statistik di bawah Statistics Agency Under the President of the Republic of Uzbekistan (Statistics Agency) telah memilih DOSM sebagai destinasi untuk mengadakan lawatan sambil belajar berkaitan pelaksanaan banci pertanian sebagai rujukan.
Mohd Uzir berkata, lawatan sambil belajar itu dapat memberi delegasi Uzbekistan pengalaman secara langsung berkaitan pengoperasian pelaksanaan banci yang dilakukan oleh DOSM, selain memperkukuh kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara dalam bidang statistik.
Beliau berkata, delegasi itu dapat mendalami aspek teknikal dan amalan terbaik digunakan oleh DOSM, memandangkan Pelaksanaan Banci Pertanian di Uzbekistan dijangka pada tahun depan.
Menurut Mohd Uzir, kali terakhir negara itu melaksanakan banci penduduk ialah pada 1989, berbanding Malaysia pada 2020 manakala banci pertanian adalah pertama kali yang akan dilaksanakan oleh negara tersebut.
Capai 93.5 peratus
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Banci Pertanian 2024 yang memasuki hari ke-82 sejak dilancarkan pada 7 Julai dan berakhir 10 Oktober ini kini mencapai 93.5 peratus pelaksanaan.
Menurut Mohd Uzir, kebanyakan negeri sudah mencapai tahap 80 peratus ke atas, termasuk Kuala Lumpur dan Labuan yang merekodkan 100 peratus dan Kedah 99.9 peratus.
Beliau berkata, sejumlah 1.2 juta pegangan pertanian terbabit dalam pembancian dengan bilangan tempat kediaman sebanyak 1.1 juta (98.4 peratus) dan pertubuhan 19,753 (1.6 peratus).
Pegawai perikanan menjalankan pemeriksaan vessel tahunan terhadap
nelayan di Jeti Nelayan Bukit Palong, Port Dickson.
Mohd Uzir berkata, pencapaian ini (bancian) dapat diperoleh dengan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak terutama agensi pertanian daerah seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan Malaysia.
“Pelbagai usaha dan libat urus yang dijalankan agensi pertanian pada peringkat daerah melalui penyediaan kepakaran, kemudahan logistik, platform kepada pembanci untu berurusan dengan pengusaha
pertanian.
“Ini sekali gus memastikan pengumpulan data pertanian terperinci diperoleh dan tiada pengusaha yang tertinggal dalam liputan banci pertanian ini,” katanya.
Katanya lagi, bancian tertinggi adalah negeri Melaka yang sudah mencapai 94 peratus, iaitu meliputi kediaman dan pertubuhan yang dilawati bagi kutipan data.
Mahu dapatan tepat, lengkap Beliau berkata, walaupun kadar respon tinggi, pihaknya mahu supaya data yang diperoleh adalah data lengkap dan mencerminkan senario sebenar, terutama dalam kalangan petani, nelayan yang tiada rekod kukuh berbanding syarikat yang terbabit dalam pertanian.
“Dapatan Banci Pertanian yang tepat dan lengkap dapat menyediakan statistik pertanian real time (masa nyata) komprehensif dan ia penting bagi tujuan penggubalan dasar dan perancangan bantuan kepada pengusaha pertanian,” katanya.
Mengulas pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Negeri Sembilan, beliau berkata ia sudah mencapai sebanyak 86.3 peratus meliputi 37,795 kediaman dan 1,017 pertubuhan yang berpotensi menjalankan sektor pertanian.
“Daripada jumlah itu sebanyak 30,749 tempat kediaman pertanian bersamaan 81.4 peratus dan 893 pertubuhan pertanian bersamaan 87.8 peratus sudah dilawati. Daerah dengan pencapaian yang tertinggi adalah Jempol dan Rembau,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd