DOSM rekod 83.4 peratus Bancian Pertanian 2024 di Selangor

DOSM rekod 83.4 peratus Bancian Pertanian 2024 di Selangor


Sungai Besar: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sudah melaksanakan bancian sebanyak 83.4 peratus daripada 67,727 kediaman dan 2,071 pertubuhan yang berpotensi menjalankan sektor pertanian menerusi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Selangor.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata daripada jumlah itu sebanyak 56,197 kediaman iaitu 83 peratus dan 1,659 pertubuhan (80.1 peratus) sudah dilawati.

Katanya, pencapaian tertinggi disumbangkan daerah Hulu Selangor dan Hulu Langat.

“Perkara ini diperoleh dengan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak terutamanya pengusaha dan agensi tempatan.

“Pelbagai usaha sudah dan sedang dilaksanakan seperti memberi penerangan kepada masyarakat, sesi engagement dengan pemimpin dan agensi tempatan serta meneruskan pengumpulan data pertanian terperinci.

“Ini bagi memastikan tiada pengusaha yang tertinggal dalam liputan Banci Pertanian 2024,” katanya.

Beri maklumat tepat 

Mohd Uzir turut berkesempatan melawat kebun kelapa Matag di Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam yang diusahakan bekas guru, Azli Suradi sejak 2020.

Pada masa sama, Mohd Uzir meminta pengusaha dan pertubuhan yang terbabit dalam aktiviti pertanian dari semua peringkat supaya memberi maklumat yang tepat dan lengkap kepada petugas banci.

“Dapatan ini dapat menyediakan statistik pertanian real time, komprehensif dan berguna kepada semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut tempoh banci yang masih lagi berbaki, beliau berkata, tempoh itu signifikan untuk melengkapkan proses pengumpulan data di peringkat huluan merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan tangkapan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.

Cari jalan terbaik tangani masalah tanah terbiar

DOSM juga masih dalam proses mencari jalan terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah tanah pertanian yang terbiar di negara ini.

Mohd Uzir berkata terdapat kekangan dan halangan yang perlu ditempuh sehingga memerlukan garapan terutama menerusi Banci Pertanian 2024.

“Ia termasuk bagaimana DOSM hendak mengubah fikiran individu yang sudah berjaya dan mempunyai profesion, tetapi mewarisi tanah milik ibu bapa yang sudah tiada.

“Jangan biarkan tanah (pertanian) terbiar. Saya dapat maklumat di lapangan bahawa mereka (pegawai DOSM) ada bertanya (kepada pemilik) berhubung tanah (untuk diusahakan).

“Namun, maklum balas yang diperoleh tidak memberangsangkan selain pemilik meminta sedikit masa sebelum membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 melakukan lawatan kerja ke Pertubuhan Global Goodway (M) Sdn Bhd (Sungai Nipah Farm) di Simpang Lima, di sini, baru-baru ini.

Pertubuhan yang diusahakan oleh Datuk Adam Omar dan Ir Saw Kong Beng sejak 2004 itu memiliki 34 kolam udang seluas 111 ekar (44.9 hektar) di Pulau Pinang, manakala di Simpang Lima, di sini pula ada 24 kolam seluas 70 ekar (28.3 hektar).

Pengeluaran penternakan udang itu fokus kepada pasaran eksport terutama ke Korea dan Taiwan sebanyak 85 peratus manakala selebihnya adalah pasaran tempatan.

Mohd Uzir berkata, isu itu harus diselesaikan dengan kadar segera selain meneliti kawasan mana yang mempunyai tanah pertanian terbiar.

“Kalau zaman 70 hingga 80-an dulu, kita adalah masyarakat luar bandar dan memiliki tanah. Biasanya peluang nak buat benda lain tidak banyak, jadi terus kepada aktiviti pertanian.

“Ketika itu, penduduk hanya sekitar 10 juta orang dan jarang sekali tanah dibiarkan. Namun, apabila kita pergi dari satu dekad ke satu dekad, urbanisasi bergerak sehingga 70 hingga 80 peratus,” katanya.

Mohd Uzir menegaskan, urbanisasi bukanlah punca utama sektor pertanian disisihkan tetapi sebaliknya individu yang mewarisi tanah mempunyai pekerjaan lain.

“Apabila ada pendapatan lain, tanah itu pada akhirnya tidak diberi penghasilan. Itu yang perlu kita beri tumpuan sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top