Doue cetus kemenangan Perancis di Landover

Doue cetus kemenangan Perancis di Landover

Doue cetus kemenangan Perancis di Landover


Landover: Desire Doue meledak dua gol ketika Perancis yang melakukan rombakan besar menewaskan Colombia 3-1 dalam aksi persahabatan di Amerika Syarikat, awal pagi tadi dengan kapten utama Kylian Mbappe hanya diturunkan sebagai pemain gantian lewat permainan.

Perancis menamatkan siri pemanas badan menjelang Piala Dunia di Amerika Syarikat dengan cemerlang apabila meraih kemenangan kedua ke atas pasukan Amerika Selatan dalam tempoh empat hari, selepas menewaskan Brazil 2-1 sebelum ini.

“Ia kemenangan yang baik. Bukan mudah.

“Ia detik yang sangat membanggakan dan saya sangat gembira.

“Kami harungi dua aksi pemanas badan yang baik sebelum Piala Dunia. Penting untuk menang hari ini dan kami lakukannya. Kami bermain dengan intensiti dan tampil baik. Kami perlu kekalkan momentum ini,” kata pemain berusia 20 tahun itu.

Jurulatih Didier Deschamps menukar keseluruhan kesebelasan utama bagi perlawanan yang berlangsung di gelanggang pasukan NFL Washington Commanders di Landover, Maryland, iaitu aksi terakhir sebelum beliau menamakan skuad Piala Dunia pada Mei.

Colombia menurunkan sebahagian besar pemain yang sama ketika tewas 2-1 kepada Croatia di Orlando, termasuk bintang Bayern Munich, Luis Diaz dan bekas perancang Real Madrid, James Rodriguez.

Penyerang Paris Saint-Germain, Doue membuka jaringan pada minit ke-30 apabila percubaannya dari luar kotak penalti terkena pertahanan Crystal Palace, Daniel Munoz sebelum menerjah gol.

Penyerang Inter Milan, Marcus Thuram menggandakan kelebihan Perancis menerusi tandukan hasil hantaran pemain tengah Monaco, Maghnes Akliouche sebelum rehat.

Thuram kemudian membantu Doue menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-56, sebelum Jaminton Campaz merapatkan jurang buat Colombia dengan rembatan terkena tiang sejurus sebelum Mbappe dimasukkan.

Bintang Real Madrid itu sebelum ini menjaringkan gol ketika menewaskan Brazil, sekali gus menghampiri rekod penjaring terbanyak Perancis, namun direhatkan dalam perlawanan ini selepas kembali daripada kecederaan lutut selama tiga minggu.

Mbappe kini mengumpul 56 gol dalam 96 penampilan bersama skuad kebangsaan, hanya satu gol memisahkannya dengan rekod 57 gol milik Olivier Giroud yang sudah bersara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top