LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan kelab DPMM FC dari Brunei Darussalam akan menanggung sepenuhnya kos perjalanan semua pasukan Liga Super yang bertandang ke negara itu bagi menghadapi perlawanan menentang mereka dalam saingan musim 2025/2026.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, penajaan itu adalah sebahagian daripada perjanjian utama antara MFL dan DPMM FC bagi memastikan kelancaran penglibatan kelab berkenaan dalam Liga Malaysia.
“Salah satu perkara utama dalam perjanjian bersama DPMM FC ialah mengenai penajaan kos perjalanan ini. Mereka telah membuat permintaan dan telah bersetuju untuk menanggungnya bagi musim akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga Malaysia Musim 2025/2026, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shazli menjelaskan bahawa penyertaan DPMM FC dalam Liga Malaysia tidak membolehkan kelab itu mewakili negara ini ke kejohanan peringkat Asia seperti Piala AFC atau kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).
“Sekiranya DPMM FC menamatkan saingan dalam kedudukan yang melayakkan mereka ke kejohanan antarabangsa, slot itu tidak akan diberikan kepada mereka kerana ia bukan untuk pasukan luar yang menyertai liga negara,” katanya.
Pada majlis berkenaan, MFL turut melancarkan bola rasmi bagi musim 2025/2026 iaitu PUMA Orbita MFL 1.
Mengulas mengenai persiapan liga baharu, beliau memaklumkan 12 pasukan telah mengesahkan venue masing-masing, manakala Stadium Darul Makmur, Kuantan, dipilih sebagai venue alternatif sekiranya berlaku isu di peringkat negeri.
“Bagi kawasan Pantai Timur, semuanya sudah disahkan. Stadium Darul Makmur juga disediakan sebagai pilihan jika ada pasukan yang memerlukan venue alternatif.
“Contohnya, kita sedia maklum bahawa Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak boleh digunakan sepanjang Ramadan kerana dijadikan lokasi solat Tarawih,” katanya.
Liga Super 2025/2026 dijadual bermula 8 Ogos ini.
Sementara itu, pasukan Imigresen FC diberi tempoh sehingga Isnin ini untuk mengesahkan venue mereka, manakala delegasi MFL akan berkunjung ke Brunei pada 10 dan 11 Julai ini bagi mengadakan taklimat khas bersama DPMM FC.
Terdahulu, MFL mengumumkan seramai 13 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam Liga Malaysia musim 2025/2026.
Pasukan terbabit ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua pasukan dari AFL A1 – Melaka FC dan Imigresen FC. – Bernama