Kisah tular mengenai pengorbanan suami kepada arwah Siti Nuraifat Bueraheng atau Aifat, Ahmad Hamada Ayueman, disifatkan ramai sebagai sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku.
Sejak awal Aifat didiagnosis menghidap kanser sarcoma tisu lutut tahap empat, Hamada dilihat tidak pernah berundur dan terus berjuang di sisi isterinya, sekali gus menyentuh hati masyarakat yang mengikuti perjalanan mereka.
Doktor yang merawat arwah, Dr Afif Mohd Ridzwan, mengakui pengalaman mengiringi rawatan Aifat sambil menyaksikan kesetiaan Hamada menjadi antara momen paling meruntun dan sukar dilupakan sepanjang tahun 2025 dalam kerjaya perubatannya.
“Dalam tugas ini, saya bukan hanya merawat seorang pesakit. Saya turut melihat perjuangan dua orang yang saling bertahan. Hamada sanggup serahkan banyak perkara demi memastikan isterinya mendapat rawatan dan itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika dihubungi.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain berkata, perhatian besar warganet terhadap kisah Hamada dan Aifat yang tular baru-baru ini menunjukkan perjuangan mereka meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai.
“Biasanya sesuatu cerita menjadi tular kerana ada nilai kemanusiaan yang kuat. Kisah mereka buat ramai sedar makna setia, erti pengorbanan, dan kasih sayang yang benar.
@drafif_alfarhain Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Aifat, isteri tercinta kepada Ahmad Hamada. Saya pernah merawat dan menyaksikan sendiri ketabahan arwah ketika melawan kanser, dan sempat menitipkan kata-kata semangat buatnya. Namun, Allah lebih menyayanginya. Semoga Hamada sekeluarga diberi kekuatan, dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin Ya Allah. #EnerVast #PusatRawatanAlFarhain #alfarhain24jam #dialisis #alfarhainmedicalcentre ♬ original sound – DR AFIF
“Kita kerap dengar ada pasangan yang memilih berundur apabila diuji. Ada juga yang sanggup mencari pengganti kerana tidak mahu bersusah payah bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Afif turut memuji kekuatan Aifat sepanjang menjalani rawatan meskipun berdepan kesakitan dan ujian yang berat.
“Aifat seorang pesakit yang sangat cekal. Walaupun sedar keadaan kesihatannya serius, dia tetap cuba kuat, terus tersenyum, dan jarang mengeluh.
“Semangat Aifat melawan kanser patut menjadi contoh kepada pesakit lain. Saya faham rawatan kanser memang mencabar, tetapi masih ada ruang untuk bangkit dan terus berjuang,” katanya.
Mengulas pemergian Aifat, Dr Afif percaya arwah pergi dalam keadaan tenang selepas berusaha sehabis daya sebagai seorang pesakit dan hamba Allah.
“Ada kalanya ukuran kehebatan bukan pada sembuh atau tidak, tetapi pada cara seseorang menghadapi ujian dengan iman dan reda. Aifat sudah memperlihatkan kekuatan itu,” jelasnya.
Terdahulu, Aifat menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 18 Disember lalu ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan selepas mengalami sesak nafas.
Ahmad Hamada memaklumkan isterinya sempat mengucap di hadapannya sebelum pergi, satu detik yang mengundang sebak ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Kisah pasangan itu sebelum ini turut menjadi bualan apabila Hamada dikatakan sanggup menjual hampir semua barangan miliknya termasuk emas dan sebuah kereta mewah BMW bagi menampung kos rawatan Aifat, sekali gus mencetuskan perbincangan luas tentang erti pengorbanan seorang suami.
Dr Afif turut berharap kisah Aifat tidak hanya diingati sebagai cerita duka, sebaliknya menjadi sumber kekuatan dan harapan buat pesakit kanser serta keluarga mereka.
“Moga kisah ini terus memberi inspirasi agar kita lebih menghargai insan tersayang dan tidak jemu memberi sokongan kepada pesakit kanser. Semoga Allah menerima amal arwah dan mengurniakan kekuatan kepada Hamada serta anak-anak,” katanya.






