Bekas isteri kepada penyanyi Ahmad Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, tampil membuat laporan di Balai Polis Paroi, Seremban pada Khamis berhubung dakwaan barangan peribadinya dikeluarkan dari kediaman yang didiami bersama tiga orang anak mereka.
Memetik laporan Berita Harian, Perkara itu disahkan peguam syarie yang mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kadir, yang memaklumkan laporan tersebut turut melibatkan dakwaan kehilangan wang tunai serta barangan kemas.
Menurut Akberdin, pihaknya kini menunggu tindakan lanjut daripada pihak polis sebelum sebarang langkah seterusnya diambil.
“Laporan polis sudah dibuat dan buat masa ini kita menunggu siasatan lanjut. Terdapat dakwaan kehilangan wang tunai dan barangan kemas, namun polis perlu merakam kenyataan terlebih dahulu sebelum menjalankan siasatan terperinci.
“Buat masa ini, kami tidak mahu membuat sebarang rumusan. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan sepenuhnya berdasarkan laporan yang telah dibuat.
“Segala butiran termasuk cara barangan diambil serta dakwaan kerosakan akibat pengambilan yang tidak betul telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Akberdin memaklumkan pihaknya juga bersedia untuk mengambil tindakan sivil selepas anak guamnya selesai membuat semakan terhadap keadaan dan jumlah barangan yang masih ada atau hilang.
“Tindakan sivil akan dipertimbangkan selepas Dr Afifah menyemak semula barangan yang terlibat dan memberi arahan lanjut kepada kami,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengesahkan tuntutan harta sepencarian antara kedua-dua pihak telah difailkan di mahkamah dan kini melalui proses perundangan.
“Kami tidak mahu mencetuskan sebarang ketegangan. Apa yang perlu dibuat, kita lakukan mengikut saluran yang betul. Kes harta sepencarian sudah difailkan dan akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya lagi.
Isu berkenaan mula mencetuskan perhatian apabila Dr Afifah atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Fie mendakwa barangan di rumah yang didiami bersama anak-anaknya telah dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Untuk rekod, Nubhan, 39, dan Dr Afifah sah bercerai pada 2 Disember lalu selepas hampir sedekad mendirikan rumah tangga sejak 29 Ogos 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
Artikel Berkaitan: Isu Buang Barang Peribadi Tanpa Izin, Peguam Sahkan Dr. Fie Bakal Lapor Polis & Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan
Artikel Berkaitan: Dr. Fie Hilang Sabar, Dakwa Nubhan Campak Barang Peribadi Tanpa Belas Kasihan – “Semudah Itu Awak Buang Saya”
Sumber: Berita Harian
Kredit foto: mstar






