Bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie meluahkan rasa kecewa dan berang apabila mendakwa barangan peribadi miliknya bersama anak-anak telah dikeluarkan dari kediaman mereka tanpa pengetahuan serta persetujuannya.
Menerusi luahan di platform Threads, Dr. Fie berkata tindakan itu dilakukan ketika dia sedang berada di luar negara, sekali gus membuatkan dirinya terkejut dan terkilan dengan sikap bekas suami yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurut Dr. Fie, segala barangan peribadinya didakwa diangkut keluar dan diletakkan di hadapan rumah ibunya tanpa sebarang perbincangan atau notis awal.
“Saya sedang berada di luar negara, namun barang-barang saya dikeluarkan dari rumah yang saya duduki bersama anak-anak tanpa pengetahuan saya. Kejam kamu, Nubhan. Semua barang saya dicampak begitu sahaja di hadapan rumah ibu.
“Sedih diperlakukan sebegini. Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Telefon pembantu rumah turut dirampas,” katanya.


Dalam hantaran sama, Dr. Fie turut mempersoalkan keberadaan barangan berharga miliknya termasuk wang tunai dan barang kemas, selain mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berkenaan telah ditutup.
“Barang-barang berharga saya siapa yang pegang? Duit dan emas saya di mana? CCTV pula ditutup. Ini sudah keterlaluan. Saya tidak tahu lagi bagaimana mahu bersabar,” tulisnya.
Dr. Fie juga meluahkan rasa hampa apabila mendakwa dirinya diperlakukan tanpa sebarang belas kasihan meskipun pernah berusaha menjaga keharmonian rumah tangga sebelum ini.
“Rumah dan kereta atas nama kamu, lalu semudah itu kamu buang saya. Lepas itu kononnya hadiah kereta, rumah dan klinik. Semua itu hanyalah kandungan semata-mata.
“Saya masih ada ibu bapa. Di mana hormat kamu terhadap orang tua saya? Adakah ini yang dikatakan anak soleh? Kamu aniaya saya seperti ini,” luahnya lagi.
Menurut Dr. Fie, kesabarannya kini berada di kemuncak selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib dan maruah semua pihak.
“Saya sudah tidak mampu lagi berdiam diri. Tangan saya menggigil. Sekurang-kurangnya tunggulah urusan harta sepencarian selesai atau berbincang secara elok. Kenapa perlu buat secara mengejut? Saya yang akan pulang penat-penat dan lihat keadaan rumah berterabur. Ya Allah, kuatkan aku,” katanya.

Sekadar info, Dr. Fie dan Nubhan disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, sekali gus menamatkan ikatan perkahwinan mereka yang bertahan selama sedekad.
Perceraian tersebut melibatkan lafaz talak kedua yang berlaku pada 10 November 2025, susulan lafaz talak pertama pada Ogos 2025, dan kedua-duanya telah disahkan di mahkamah.






