Dr Ibrahim Lembut dipilih Tokoh Utama Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025

Dr Ibrahim Lembut dipilih Tokoh Utama Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025


MANTAN Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dipilih sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Tiga tokoh lain turut dipilih untuk menerima anugerah masing-masing iaitu Anugerah Khas Individu Kategori Aktivis Mualaf yang diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Joannes Lukas; Anugerah Khas Individu Kategori Usahawan (Pengurus Tijara Kitchen, Marliza Mohd Yunus) dan Anugerah Khas Individu Kategori Kebajikan yang diberikan kepada Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Mohammad Faizal Che Yusof.

Selain itu, Jawi turut memilih Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sebagai penerima Anugerah Khas Organisasi Kategori Kemanusiaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak untuk Anugerah Khas Organisasi Kategori Pendidikan.

SELAIN Dr Ibrahim, tiga tokoh lain dan dua organisasi turut dipilih menerima anugerah kategori masing-masing.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu dan pihak yang telah banyak memberi sumbangan dalam memartabatkan Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat Islam melalui penganugerahan tokoh dan anugerah khas.

“Penganugerahan ini adalah sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa serta pencapaian oleh individu dan organisasi yang terpilih.

“Ia juga sebagai galakan dan dorongan kepada umat Islam yang lain menyumbang tenaga, kepakaran dan idea serta kemahiran yang dimiliki dalam pembangunan masyarakat dan negara khususnya di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025.

Tambah Jawi, pihaknya berharap majlis tersebut menjadi titik tolak kepada pengukuhan kefahaman dan penghayatan sirah Nabi Muhammad SAW dalam kalangan masyarakat Islam.

“Selain itu, majlis ini juga diharap menyemarakkan lagi semangat Malaysia MADANI melalui kerjasama erat pelbagai agensi, organisasi dan masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu merupakan acara rasmi tahunan sempena hari kebesaran Islam dan ia menjadi satu tradisi penting sebagai wadah dalam menyemarak dan menyuburkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Antara pengisian utama program ialah perarakan 18 kontinjen melibatkan 638 peserta termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) melalui Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis).

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Wilayah Persekutuan 1447H/2025.

“Turut diadakan slot ‘Bersama Palestin’ yang mengupas sejarah perjuangan serta aspek kemanusiaan saudara kita di Palestin. Sesi ini diadakan bagi menyemarakkan semangat solidariti dan keprihatinan sejajar dengan sunnah Rasulullah SAW.

“Majlis ini turut diserikan dengan Persembahan Khas Maulidur Rasul oleh Kumpulan NAFIR, Johan Festival Nasyid MAKSAK Peringkat Kebangsaan 2024 & 2025,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top