Pelakon Isa Khan menegur keras arah tuju drama tempatan yang menurutnya semakin tersasar daripada nilai seni apabila terlalu sarat dengan adegan berbaur ‘soft porn’ sehingga dikhuatiri merosakkan minda penonton terutama golongan kanak-kanak.
Isa atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad berusia 32 tahun meluahkan rasa kesal terhadap kecenderungan produksi moden yang didakwanya lebih mengejar angka tontonan berbanding menjaga maruah.
“Drama Melayu sekarang banyak tak senonoh. Terlalu banyak babak berunsur ‘soft porn’ kononnya nak naikkan rating sampai maruah agama tergadai.
“Drama TV ni untuk tontonan umum budak kecil pun tengok. Tak habis habis cerita fasal penyondol tak peliklah ramai orang menyampah dan tak tengok TV dah” ujarnya menerusi platform Threads.
Drama Melayu banyak tak senonoh!
Suami kepada aktres Risteena Munim itu berkata karya seni sama ada drama atau filem sepatutnya kembali kepada fungsinya sebagai medium yang mendidik masyarakat bukan menyumbang kepada kerosakan nilai.

“Nak berkarya biarlah yang ada manfaat untuk orang lain.
“Bukan hanya untuk kepuasan sendiri dan mencemarkan imej agama Islam serta pengaruh buruk kepada masyarakat” tegasnya.
Artikel lain: Jamilah? Trend yang memalukan! Jatuh maruah umat Islam – Isa Khan
Kenyataan Isa segera menarik perhatian warganet yang rata rata bersetuju bahawa drama Melayu semakin hilang roh kesenian serta nilai moral.
Namun terdapat juga komen yang menyindir agar aktor itu menasihati isterinya dan adik iparnya sendiri iaitu Ruhainies.

Isu berkaitan kualiti drama tempatan bukan perkara baharu.
Malah, beberapa selebriti lain termasuk Fazura dan Siti Saleha turut menegur hala tuju drama yang semakin jauh daripada nilai asas karya kreatif.







