DSV Jadi Duyung, Kembali Warnai Dunia Muzik Dengan ‘Lagu Happy’!

DSV Jadi Duyung, Kembali Warnai Dunia Muzik Dengan ‘Lagu Happy’!


Usahawan dan personaliti sensasi, Datuk Seri Vida (DSV) kembali mencuri perhatian industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul Lagu Happy. Karya ini turut dipilih sebagai salah satu runut bunyi rasmi untuk filem fantasi komedi keluarga Duyung Legenda Aurora yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 Disember 2025.

Hasil ciptaan Syahmi Muffin dengan lirik oleh Neo, Lagu Happy tampil dengan melodi yang segar, ceria serta penuh tenaga positif. Dengan susunan muzik yang ringan dan mudah dinikmati, lagu ini membawa mesej untuk kekal tenang, melepaskan tekanan dan terus berfikiran positif ketika berdepan cabaran. Pada masa sama, ia juga mengimbau memori lagu ikonik Aspalela dan Yahoo daripada filem Duyung terdahulu.

Menurut Datuk Norman Abdul Halim, konsep lagu ini dibangunkan dengan elemen santai dan universal. Katanya, selepas beberapa pertimbangan, pihak produksi merasakan Datuk Seri Vida adalah pilihan paling sesuai kerana personalitinya yang sentiasa ceria, tidak mudah berputus asa dan seiring dengan semangat lagu Happy. Lagu ini juga disifatkan sebagai sebuah karya mudah diingati, sesuai dinyanyikan bersama dan boleh dinikmati oleh semua peringkat usia.

Sementara itu, Datuk Seri Vida menjelaskan bahawa Lagu Happy terhasil daripada pengalaman hidup serta prinsip yang dipegangnya selama ini. Jelasnya, kebahagiaan adalah pilihan yang wajar diraikan walau apa pun cabaran yang dilalui.

Katanya, lagu ini dihasilkan dengan harapan dapat membawa aura positif serta menjadi penguat semangat buat sesiapa sahaja yang mendengarnya, sekali gus mengingatkan bahawa kebahagiaan bermula dari diri sendiri.

Lagu Happy telah dipersembahkan buat pertama kali secara eksklusif pada Malam Gala Duyung Legenda Aurora yang berlangsung baru-baru ini. Lebih menarik, Datuk Seri Vida turut membuat kemunculan istimewa sebagai duyung merah jambu dalam video muzik lagu tersebut yang diarahkan pengarah muda, Farah Khalid.

Single edaran Sony Music Entertainment ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 19 Disember 2025, manakala video muzik rasminya bakal dilancarkan di saluran YouTube Nadi Studios pada 22 Disember 2025, jam 8 malam.



Source link

OR

Scroll to Top