September 8, 2024

Dua beradik curi motosikal direman 4 hari

Dua beradik curi motosikal direman 4 hari



harisfadli@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Dua beradik ditahan kelmarin kerana disyaki melarikan motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan di kawasan parkir Pangsapuri Sri Mutiara, Taman Ukay Bistari, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mendakwa motosikal milik pakciknya hilang dipercayai dicuri.

“Pada 14 Jun, adik mangsa memberitahu kepadanya bahawa motosikal terbabit tidak kelihatan di lokasi ia diletakkan, selepas diperiksa mangsa mengesyaki motosikal berkenaan dicuri.

“Mangsa meletakkan motosikal milik pakciknya di tempat letak motosikal bawah blok Pangsapuri Sri Mutiara sejak Januari lalu sebelum didapati hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya berjaya menjejak kedua-dua suspek berusia 17 dan 25 tahun itu sekitar ibu negara kelmarin.

Mohd Azam berkata, dua beradik itu ditahan kira-kira 5.10 petang di Taman Keramat, Kuala Lumpur dan pasukan serbuan berjaya menemukan semula motosikal yang dilaporkan hilang berkenaan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran itu tiada rekod lampau dan ujian air kencing juga didapati negatif.

“Kedua-dua suspek dipercayai tidak terbabit dengan kes curi motosikal lain dan motif mereka mencuri motosikal berkenaan adalah dipercayai untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top