Setelah lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya berunsur dakwah dan mesej positif, kumpulan nasyid tersohor, UNIC, bakal mengadakan konsert istimewa berjudul “This Is UNIC: Live In Concert” pada 20 Disember depan di Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert itu menjadi detik bermakna buat UNIC yang kini dianggotai Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi, selain menandakan konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini.
“Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk kami meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal. Kami mahu kembalikan semangat nasyid ke pentas besar dan buktikan muzik dakwah masih relevan,” kata Bazli mewakili kumpulan itu.
Tidak sekadar hiburan, konsert berkenaan disusun sebagai sebuah perjalanan muzik dan jiwa, yang membawa penonton menyusuri sejarah UNIC sejak awal kemunculan mereka hingga kini.
Setiap segmen persembahan akan memaparkan fasa berbeza dalam perjalanan seni UNIC, menampilkan evolusi muzik mereka dari era tradisi hingga ke susunan moden.
“Kami mahu penonton merasai setiap fasa perkembangan kami daripada lagu-lagu lama yang membentuk identiti UNIC hingga susunan muzik baharu yang lebih segar,” kata Dr. Fitri yang menekankan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan dalam persembahan mereka.
Dengan gabungan muzik moden dan tradisional serta iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, UNIC menjanjikan pengalaman konsert yang bukan sekadar ditonton, tetapi dihayati sepenuhnya.
“Kami ingin penonton bukan hanya datang untuk menonton, tetapi benar-benar merasai pengalaman konsert ini daripada visual, bunyi hingga mesej yang kami ingin sampaikan,” ujar Fakhrul yang turut berkongsi persiapan rapi dari segi vokal, mental dan fizikal sedang dijalankan.
Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan termasuk ‘Demi Cinta Suci’, ‘Hanya Tuhan Yang Tahu’ dan ‘Ainul Mardhiah’, dengan susunan muzik baharu yang lebih segar.
Konsert itu juga bakal menampilkan artis jemputan istimewa yang mempunyai kenangan tersendiri bersama UNIC, sebagai penghargaan terhadap perjalanan dua dekad mereka.
“Insya-Allah akan ada kejutan istimewa malam itu. Kami nak cipta suasana penuh kasih, bukan sekadar antara kami dan peminat, tapi juga bersama rakan-rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” kata Bazli lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, penganjuran konsert ini adalah tanda penghormatan terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan mesej dakwah melalui muzik.
“‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat,” jelasnya.
Lebih dua dekad dalam industri, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu untuk mengangkat semula keindahan muzik nasyid ke arus perdana.
“Kami harap konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi mampu meniup semangat baharu dan membuktikan nasyid masih ada tempat di hati rakyat Malaysia,” kata mereka sebulat suara.
Tiket mula dijual 17 Oktober 2025 di laman rasmiwww.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC
Kategori & Harga Tiket:
- Ainul Mardhiah – RM249
- Hanya Tuhan Yang Tahu – RM199
- Zinnirah (2nd Level) – RM159
- Mahligai Kasih – RM119
- Balqis (2nd Level) – RM99
- Demi Cinta Suci (2nd Level) – RM89