LUMUT: Selangor FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menundukkan Perak FC 2-1 dalam perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.
Sebaliknya, kekalahan itu menyaksikan Perak kemarau kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut.
Dua jaringan Alvin Fortes masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan membolehkan Selangor mengumpul 35 mata daripada 16 perlawanan setakat ini.
Pada perlawanan di sini, Selangor membuka jaringan menerusi Fortes pada minit ke-41 selepas mudah menolak masuk bola hantaran Quentin Cheng dari sebelah kanan.
Fortes menggandakan kedudukan buat Selangor menerusi gol keduanya pada minit ke-71 selepas menerima hantaran ke belakang oleh Alexander Ameyaw.
Perak cuba bangkit dan berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan Wan Zack Haikal dalam kotak penalti pada minit ke-89.
Pasukan tuan rumah menggandakan serangan pada babak-babak akhir perlawanan untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan namun gagal membolosi jaring lawan sehingga tamat permainan. – UTUSAN