Dua gol Fortes ceriakan Selangor FC

Dua gol Fortes ceriakan Selangor FC

Dua gol Fortes ceriakan Selangor FC



ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat Perak FC untuk melonjak ke kedudukan kelompok lima terbaik Liga Super tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi di Stadium Mini Manjung, sebentar tadi.

Sebaliknya, pelawat membawa pulang tiga mata, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua dengan mengumpul 35 mata selepas beraksi 16 perlawanan.

Pertembungan antara dua seteru itu seperti dijangka berlangsung sengit pada 30 minit pertama dengan masing-masing saling berbalas serangan untuk mencari gol pendahuluan terutama sekali tuan rumah yang dibimbing Yusri Che Lah.

Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu berada di depan apabila tonggak import kelahiran Cape Verde, Alvin Fortes mudah menyudahkan hantaran lintang rendah pertahanan kanan, Quentin Cheng pada minit ke-41.

Perak yang membantah jaringan berkenaan kerana mendakwa Fortes berada di kedudukan ofsaid ternyata kecewa apabila gol itu disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Selain Fortes, pujian harus diberikan kepada penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz yang beraksi cemerlang menafikan tiga percubaan dalam situasi satu lawan satu termasuk melalui usaha Jesper Nyholm pada minit ke-58.

Perak yang beraksi dengan lebih baik dan tersusun pada separuh masa kedua mempunyai peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-64 hasil sepakan percuma, Wan Zack Haikal Wan Noor, namun percubaannya ditampan Kalamullah sebelum ditanduk keluar oleh ketua pasukan, Safuwan Baharudin.

Tujuh minit kemudian Selangor yang dibimbing Katsuhito Kinoshi memperoleh gol kedua hasil permainan satu dua antara Fortes dan Alex Agyarkwa.

Fortes melepaskan rembatan leret di dalam petak penalti untuk menumpaskan penjaga gol tuan rumah, Ramadhan Hamid.

Selepas berkali-kali mencuba Perak akhirnya meraih gol sagu hati melalui Wan Zack pada minit ke-89 melalui penyudah jarak dekat menumpaskan Kalamullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top