Mateta wira The Eagles di Old Trafford. Foto Agensi
PENYERANG kelahiran Perancis, Jean-Philippe Mateta, kembali ke prestasi terbaiknya bersama Crystal Palace apabila dua golnya membenam Manchester United, 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford pada Ahad.
Pemain posisi penyerang yang bergelut dengan masalah prestasi bersama The Eagles kendalian Oliver Glasner sebelum ini membuktikan ketajaman penyudah apabila meledak jaringan minit ke-64 dan m-89 untuk melebarkan rekod lapan perlawanan tanpa kalah liga di tempat lawan.
Kemenangan itu juga menyaksikan Crystal Palace memintas Manchester United buat sementara untuk menduduki kedudukan ke-12 liga dengan 30 mata diikuti lawannya tersebut 29 mata.
Kekalahan Manchester United juga meranapkan harapan pengendali Ruben Amorim untuk meraih kemenangan kedua-dua berturut-turut liga selepas menang 1-0 ke atas Fulham di Craven Cottage pada 27 Januari lalu.
United selepas ini akan beralih arah ke saingan Pusingan Keempat Piala FA, menentang Leicester City di Stadium Old Trafford pada Sabtu ini.
Crystal Palace pula akan bertandang ke Stadium Eco-Power menentang Doncaster Rovers pada Selasa depan.