DUA penembak negara, Johnathan Wong dan Nur Suryani Mohamed Taibi berbekalkan pengalaman luas dan misi yang sama memasang impian menghadiahkan pingat buat Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Bagi Johnathan yang bakal membuat penampilan keempat di temasya itu selepas Guangzhou 2010, Incheon 2014 dan Hangzhou 2022, sasarannya jelas, iaitu menghadiahkan pingat dengan emas menjadi buruan kali ini.
Pencapaian terbaik atlet berusia 34 tahun itu di Sukan Asia ialah mara ke final acara 10 meter (m) air pistol lelaki di Hangzhou 2022. Kali ini, beliau optimis mampu mencipta keputusan lebih baik apabila menggunakan pistol baharu dalam acara individu lelaki serta berpasukan campuran.
“Setakat ini semua persiapan okey. Tahun ini kami sudah menggunakan pistol baharu, harapan yang baharu. Sudah tentu kali ini saya harap keputusan lebih baik.
“Saya akan cuba yang terbaik. Kalau mengikut impian, sudah tentu mahukan emas. Yang penting, saya akan cuba memberikan yang terbaik supaya dapat menunjukkan prestasi lebih baik kali ini. Fokus kepada diri sendiri kerana jika keputusan baik, peluang ke final lebih tinggi,” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan, ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Johnathan turut mengakui cabaran getir menanti apabila bakal berdepan penembak handalan dunia dari China, Korea Selatan dan India selain kebangkitan atlet dari Asia Tenggara.
Beliau yang bertugas sebagai pengurus lapang sasar di bawah MSN sejak 2021 turut merakamkan penghargaan kepada badan itu kerana memberi kelonggaran untuk menyesuaikan jadual kerjanya dengan latihan serta penyertaan dalam kejohanan.
“MSN banyak membantu saya dengan memberi peluang untuk menyertai pertandingan apabila diperlukan,” katanya.
Sementara itu, penembak berpengalaman Nur Suryani yang akan menyambut ulang tahun ke-44 ketika temasya berlangsung pada 24 September bertekad menjadikan penampilan keenamnya di Sukan Asia sebagai pentas menghadiahkan pingat istimewa buat negara dengan emas menjadi sasaran utama.
Sejak membuat penampilan sulung di Doha 2006, Nur Suryani telah menghadiahkan satu pingat perak dan dua pingat gangsa kepada negara.
Pada edisi Guangzhou 2010, beliau memenangi gangsa dalam acara 10m air rifle individu sebelum meraih perak acara individu dan gangsa acara berpasukan 50m rifle prone di Incheon 2014.
Dengan hanya emas masih belum ada dalam koleksinya, Nur Suryani berazam melengkapkan pencapaiannya menerusi acara 10m air rifle serta 50m rifle tiga posisi, masing-masing dalam acara individu dan berpasukan.
Beliau berkata persiapan kali ini jauh lebih rapi dan tersusun, selain berharap dapat membantu skuad menembak negara menjadi lebih kompetitif di pentas Asia.
Mengenai strategi menghadapi saingan, Nur Suryani berkata beliau memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi sendiri pada setiap pusingan berbanding memikirkan reputasi pencabar lain.
“Keajaiban boleh berlaku. Jadi, apa yang penting ialah saya fokus kepada prestasi sendiri dan menikmati saingan di Sukan Asia. Saya tidak mahu terlalu memikirkan apa yang dilakukan peserta lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau masih belum berhasrat untuk bersara selagi khidmatnya masih diperlukan negara. – Bernama






