Kane meledak dua gol ketika Bayern berdepan Flamengo. Foto Agensi
KAPTEN England, Harry Kane terus mempamerkan ketajamannya apabila meledak dua gol menjadikan jumlah jaringannya kepada 41 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Sumbangan cemerlang Kane membantu Bayern Munich memenangi perlawanan 4-2 menentang Flamengo di Stadium Hard Rock dalam Pusingan 16 Piala Dunia Kelab, sekali gus membawa gergasi Bundesliga Jerman itu ke pusingan suku akhir.
Flamengo, wakil Brazil yang hadir ke perlawanan ini dengan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan, dikejutkan seawal enam minit.
Pemain tengah Chile, Erick Pulgar, secara tidak sengaja terbias sepakan sudut Joshua Kimmich ke dalam gawang sendiri.
Tiga minit kemudian, Bayern Munich menggandakan kedudukan menerusi Kane melepaskan rembatan sedikit terbias oleh Leo Ortiz selepas Dayot Upamecano merampas bola daripada Giorgian de Arrascaeta di kawasan Flamengo.
Namun Gerson membangkitkan sedikit harapan buat Flamengo apabila berjaya menewaskan Manuel Neuer dengan rembatan 12 minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Biarpun begitu Leon Goretzka kembali mengembalikan kelebihan dua gol Bayern dengan percubaan jarak jauh yang mengelirukan penjaga gol Agustin Rossi.
Bekas pemain tengah Arsenal dan Chelsea, Jorginho, kemudian berjaya memperdayakan Neuer selepas Michael Olise mengendalikan percubaan De Arrascaeta pada awal separuh masa kedua.
Bagaimanapun, penyudah klinikal Kane sekali lagi melengkapkan pesta gol Bayern dengan baki 18 minit perlawanan.