Dua lagi syarikat dikenal pasti terbabit rasuah projek pusat data

Dua lagi syarikat dikenal pasti terbabit rasuah projek pusat data


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua lagi syarikat dikenal pasti memperoleh projek dengan memberi suapan kepada pengurus projek yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Sumber berkata, beberapa pengarah syarikat yang juga sudah dikenal pasti akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Katanya, suspek utama pengurus projek turut mengaku meminta tiga peratus daripada nilai projek daripada mana-mana syarikat yang mahu mendapatkan projek dari syarikat pembinaan terkemuka.

Difahamkan, ia dengan membocorkan harga tender dan membantu memastikan syarikat yang memberi rasuah memenangi tender.

“Wang itu dibayar secara berperingkat mengikut progres pembayaran projek.

“Kita difahamkan terdapat beberapa juta lagi yang masih belum dibayar oleh syarikat kepada suspek seperti mana perjanjian mereka,” katanya, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pengurus kontrak bersama isteri dan dua pengarah syarikat ditahan SPRM kerana dipercayai terbabit rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data di Johor, bernilai kira-kira RM180 juta.

Semua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan dalam Op Ways yang dijalankan Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.

Semasa serbuan pasukan berjaya menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top