KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan ditahan bersama dadah bernilai hampir RM2 juta dalam satu operasi yang dijalankan di balai ketibaan bahagian luar lapangan terbang Miri, Sarawak pada 6 November lalu.
Ketua Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Anak Ata memaklumkan, hasil ujian awal air kencing mendapati, kedua-dua suspek positif dadah jenis Methaphetamine, Amphetamine, dan Benzo.
“Suspek pertama berusia 36 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan seorang lagi suspek, 42 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, kesalahan mencuri dan pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, dadah bernilai RM1.99 juta yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 102,817 orang penagih.
Mancha berkata, modus operandi sindiket adalah membawa masuk bekalan dadah diperolehi dari Semenanjung ke Sarawak melalui lapangan terbang.
Beliau berkata, suspek menerima upah sebanyak RM5,000 dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.
Kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula 7 November hingga 13 November dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL