am@hmetro.com.my
Ipoh: Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap dua lelaki warga Myanmar dengan salah seorang daripada mereka seharusnya didakwa bagi kesalahan membunuh rakan senegara di sebuah asrama rumah ibadat, di sini.
Majistret S Punitha membuat keputusan itu bagi membolehkan pelantikan jurubahasa Myanmar selepas kedua-dua tertuduh memaklumkan mereka tidak memahami pertuduhan jika dibacakan dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris.
Thien Mg, 31, sepatutnya didakwa hari ini atas kesalahan membunuh manakala rakan senegaranya, Win Naing, 40, seharusnya didakwa atas kesalahan berkaitan Imigresen.
Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk memberi masa menyediakan khidmat jurubahasa Myanmar
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan itu mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap Thien Mg yang sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mahupun jaminan kepada Win Naing.
“OKT (Win Naing) warga Myanmar tak berapa faham Bahasa Melayu dan Inggeris. Mohon tarikh (sebutan) yang sama dengan Thien Mg bagi kehadiran jurubahasa Myanmar serta tiada jaminan dibenarkan,” kata Zarris Sofea.
Kejadian bunuh itu membabitkan mangsa seorang lelaki juga seorang warga Myanmar yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah bilik asrama sebuah tokong Cina di Jalan Menglembu, Menglembu, di sini pada 5 September lalu sebelum disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mengesahkan punca kematian adalah kecederaan kepala akibat trauma tumpul.
Sementara itu, difahamkan Win Naing dijadikan saksi pendakwaan bagi kes bunuh terbabit namun dia juga sepatutnya didakwa hari ini atas peruntukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd