GEORGE TOWN: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera ringan dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah motosikal di Jalan Burma di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku apabila salah seorang daripada mangsa iaitu seorang penunggang motosikal lelaki berusia 71 tahun secara tiba-tiba mengubah laluan ketika berada di Lengkok Burma.
Katanya, tindakan melulu warga emas terbabit bagaimanapun mengundang padah apabila ia menyebabkan dua buah motosikal lain yang masing-masing ditunggangi seorang lelaki berusia 41 tahun dan wanita berusia 19 tahun gagal mengelak lalu merempuh motosikal pertama (milik lelaki warga emas itu) dari arah belakang,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Abdul Rozak, akibat pelanggaran tersebut, lelaki berusia 71 tahun itu maut di lokasi kejadian manakala penunggang kedua iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital kira-kira pukul 1.15 petang.
“Sementara itu, penunggang motosikal ketiga iaitu wanita berusia 19 tahun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan sahaja,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan bahawa punca kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan oleh kecederaan di bahagian kepala yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.-UTUSAN






