Dua nelayan melecur, bot meletup

Dua nelayan melecur, bot meletup


KANGAR: Dua nelayan melecur selepas bahagian ruangan simpanan bateri bot meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Pelantar Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, di sini, semalam.

Mangsa pertama, Mohamad Bakri Idham, 54, melecur 90 peratus manakala seorang lagi mangsa, Nur Azman Sabu, 45, melecur 45 peratus.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kes kebakaran melibatkan sebuah bot fiber di lokasi berkenaan sekitar pukul 11.35 malam.

Katanya, pemeriksaan awal dilakukan mendapati bot berkenaan sedang membuat persiapan untuk ke laut sebelum berlakunya letupan tersebut.

“Mengikut maklumat daripada salah seorang mangsa, ketika membuat persiapan untuk ke laut, mereka melakukan pemeriksaan pada bot itu dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan-kelengkapan lain lengkap.

“Namun ketika mangsa membuka penutup ruangan tempat simpan bateri, tiba-tiba telah berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot fiber itu,” katanya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, selepas letupan itu, api kemudiannya menyambar kedua-dua mangsa sehingga mengakibatkan mereka terbakar.

Beliau berkata, namun begitu, mangsa berkenaan sempat diselamatkan oleh orang kampung yang turut berada di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dapat diselamatkan dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kebakaran bot itu juga berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Perlis.

“Siasatan lanjut masih sedang dijalankan berhubung kes ini,” katanya. –UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top