am@hmetro.com.my
Keningau: Dua pekerja kilang melecur selepas kompresor mesin pemotong kayu meletup hingga menyebabkan kebakaran di premis itu yang terletak di Kampung Kuala Biah, di sini, hari ini.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan Toyota Land Cruiser yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, sepasukan 13 anggota ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 3.18 petang.
“Setibanya pasukan, didapati kebakaran melibatkan kompresor mesin pemotong kayu dan merebak hingga sebuah kenderaan musnah 100 peratus.
“Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai bermula dari dalam kilang sebelum berlaku letupan yang menyebabkan dua pekerja melecur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa warga tempatan melecur di belakang badan, manakala pekerja warga asing melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh anggota badan.
Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Operasi pemadaman dijalankan segera dan api berjaya dikawal pada 3.39 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.40 petang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






