Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
am@hmetro.com.my
Gambar Noorazura Abdul Rahman
SUNGAI PETANI: Dua pelajar perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan serta mengurung rakan sekelas dalam tandas sebuah sekolah menengah, bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 13 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar perempuan sebaya di tandas blok tingkatan enam sekolah berkenaan kira-kira jam 6.40 petang pada 14 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, kedua-duanya didakwa mengurung mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 34.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Nor menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam bela mereka, N. Nagaratnam memohon jumlah lebih rendah dengan alasan kedua-dua anak guam masih bersekolah dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta mengarahkan mereka tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 23 September depan.
Terdahulu, pada 19 Julai lalu, media melaporkan seorang pelajar perempuan tingkatan satu ditemukan di dalam tandas sekolah dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher, manakala mulutnya disumbat dengan sapu tangan.
Pelajar berkenaan kemudian menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki, selain trauma akibat insiden itu.
Tamat
From: MHI
© New Straits Times Press (M) Bhd