Dua pemain perseorangan wanita negara lulus ujian awal di Jerman

Dua pemain perseorangan wanita negara lulus ujian awal di Jerman

Dua pemain perseorangan wanita negara lulus ujian awal di Jerman


DUA pemain badminton perseorangan wanita negara, K Letshanaa dan S Kisona memulakan kempen Terbuka Hylo Super 500 di Saarlandhalle, Saarbrucken Jerman dengan kemenangan meyakinkan untuk mara ke pusingan kedua.

Letshanaa tidak berdepan masalah menundukkan pemain Taiwan, Huang Ching Ping, 21–9, 21–15 dalam masa hanya 34 minit sekali gus mengekalkan rekod dua kemenangan ke atas lawan sama selepas pertemuan terakhir mereka di Korea Open tahun lalu.

Turut mara, Kisona mengekori jejak rakan senegara apabila menewaskan pemain muda Bulgaria, Kaloyana Nalbantova, 21–9, 22–20 dalam pertarungan 36 minit sekali gus melebarkan dua momentum positif sebelum ini.

Pasangan campuran negara, Wong Tien Ci–Lim Chiew Sien, turut melangkah bergaya ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Brazil, Fabricio Farias–Jaqueline Lima, 21–14, 21–17 dalam masa 30 minit.

Kemenangan itu menjadi suntikan semangat buat pasangan Malaysia yang belum pernah berdepan lawan berkenaan sebelum ini, dan kini bakal berdepan ujian lebih getir di pusingan seterusnya.

Namun, dua pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Jacky Kok Jing Hong tidak bernasib baik apabila langkah mereka terhenti di pusingan pertama.

Jun Hao tewas dalam pertarungan hampir sejam 12 minit kepada wakil India, S Subramanian, 14–21, 21–18, 16–21, kekalahan kedua berturut-turut kepada pemain sama selepas Masters Thailand Super 100 pada 2024.

Sementara itu, Jacky Kok akur tunduk kepada pemain Thailand dan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019, Kantaphon Wangcharoen, 19–21, 18–21 dalam aksi 44 minit.

Dalam acara beregu lelaki, satu lagi wakil negara, Azryn Ayub–Tan Wee Kiong terpaksa akur selepas tewas 16–21, 22–24 kepada pasangan pilihan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, yang kini menduduki ranking ke-17 dunia.

Dalam perkembangan berlainan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan penganjuran Terbuka Malaysia Super 1000 dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 6 hingga 11 Januari depan.

Menurut badan induk itu, jualan tiket akan dibuka 3 November jam 2 petang melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga tiket bagi edisi 2026 kekal pada kadar sama seperti 2025.

“Promosi Early Bird meliputi semua kategori tiket harian, manakala peminat yang ingin menyaksikan keseluruhan saingan boleh memilih pas musim dengan harga antara RM282 hingga RM2,000 bergantung kepada kategori tempat duduk.

“BAM menasihatkan peminat agar tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket. Berdasarkan pengalaman lalu, kategori popular lazimnya habis dijual dalam tempoh singkat,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Ringkasan AI

  • Dua pemain badminton perseorangan wanita negara, K Letshanaa dan S Kisona memulakan kempen Terbuka Hylo Super 500 di Jerman dengan kemenangan
  • Pasangan campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, turut melangkah bergaya ke pusingan kedua selepas menundukkan gandingan Brazil
  • Dua pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Jacky Kok Jing Hong, tidak berjaya mara ke pusingan kedua
  • Azryn Ayub-Tan Wee Kiong dalam acara beregu lelaki tewas kepada pasangan pilihan Indonesia
  • Terbuka Malaysia Super 1000 dijadualkan berlangsung pada Januari dengan jualan tiket dibuka November melalui laman sesawang ticket2u.com.my



Source link

OR

Scroll to Top