Dua penyeludup ditahan, rampasan barang kawalan, rokok cecah RM662,000

Dua penyeludup ditahan, rampasan barang kawalan, rokok cecah RM662,000


am@hmetro.com.my

Tawau: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan cubaan pengedaran barang kawalan, barang bersubsidi dan rokok tidak berkastam bernilai keseluruhan RM662,088.26, termasuk duti dan cukai, menerusi lima kes berasingan di beberapa daerah di negeri ini sepanjang Julai lalu.

Pengarah JKDM Sabah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman, berkata rampasan itu membabitkan nilai barang sebanyak RM449,004.13, manakala duti dan cukai dianggarkan RM213,084.13, hasil operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Tawau, Kota Marudu, Papar dan Sandakan, termasuk menerusi Operasi Joint Task Force (JTF) 2026.

Beliau berkata, rampasan terbesar direkodkan di Tawau pada 27 Julai lalu apabila sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Tawau bertindak hasil maklumat risikan dengan menjalankan pemeriksaan ke atas enam pengangkut membabitkan dua van, dua lori, bot laju dan bot kayu 15 tan di sebuah jeti tidak diwartakan.

“Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan menemukan 1,100 kilogram beras super import, 1,105 kilogram minyak masak paket, 690 kilogram gula pasir, 50 unit tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram, selain pelbagai barangan runcit seperti mi segera, makanan ringan, minuman, sambal, teh dan bahan perasa yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, nilai rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM351,598.82, termasuk cukai, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dr. Ahmad Taufik berkata, dalam satu lagi operasi di perairan Kampung Hidayat, Tawau pada 29 Julai lalu, pasukan penguat kuasa mengesan dua bot sedang melakukan aktiviti pemindahan barang sebelum sebuah daripadanya melarikan diri ke arah Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan 49,600 batang rokok pelbagai jenama disyaki tidak berkastam bernilai RM73,859.20, termasuk cukai, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kudat pada 10 Julai lalu pula berjaya merampas 116,320 batang rokok pelbagai jenama yang disimpan di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ranau, Kota Marudu dengan nilai keseluruhan RM106,170.24, termasuk cukai.

Menurutnya, di Papar, operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Kinabalu menerusi Ops JTF 2026 pada 27 Julai lalu berjaya mematahkan cubaan mengedar 80,000 batang rokok putih disyaki tidak berkastam bernilai RM85,360, manakala di Sandakan, pemeriksaan ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) di Simpang Beluran pada 23 Julai lalu menemukan 50,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM45,100, termasuk cukai.

Katanya, kes membabitkan rampasan rokok di Kota Marudu, Papar dan Sandakan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top