Dua rakan didakwa rompak pelancong asing

Dua rakan didakwa rompak pelancong asing

Dua rakan didakwa rompak pelancong asing



surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dua sahabat sejenayah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga individu termasuk pelancong wanita Rusia, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, penghantar barang, Muhammad Farhan Rosli, 30, dan penganggur Mohammad Safikri Edi Warman, 29, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga Rusia, Ermashova Nataliya membabitkan kerugian RM8,000 di Jalan Sejahtera, Wangsa Maju di sini pada 6.15 petang, 12 Disember lalu.

Mereka juga didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas warga tempatan Muhammad Najmi Suhaimi, 25, yang menyebabkan kerugian RM1,500 di Jalan Tun Razak KL City Centre pada 6.30 pagi, 14 Disember lalu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa merompak beg silang yang mengandungi pasport Amerika, wang tunai AS$380, dua telefon bimbit milik warga Vietnam, Truong Chung Phuc di Jalan Landak, Pudu di Dang Wangi di sini pada 7.15 pagi, 14 Disember lalu.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin dan Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin selain kedua-dua tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Peguam Charanpal Singh yang mewakili Muhammad Farhan manakala peguam Aziz Hakimi Syah yang mewakili Mohammad Safikri masing-masing memohon jaminan rendah atas alasan anak guam mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Mendengar hujah semua pihak, Egusra tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Februari depan bagi sebutan kes.

Semalam Harian Metro melaporkan, sebaik keluar penjara Julai lalu, seorang lelaki bersama rakan lamanya aktif melakukan kegiatan ragut di Wangsa Maju bagi mencari wang mudah untuk melangsaikan hutang rumah dan kereta mereka.

Bagaimanapun kegiatan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun itu tumpas selepas sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menahan mereka di tempat parkir motosikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, di sini, pada 19 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, penahanan mereka susulan laporan polis dibuat pelancong wanita Rusia berusia 50-an yang menjadi mangsa ragut ketika dalam perjalanan ke Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Disember lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, beg dibawa mangsa diragut dua suspek menaiki motosikal menyebabkan dia mengalami kerugian hingga RM8,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top